SEREMBAN – Polis berjaya menyelesaikan 45 kes samun melibatkan kerugian lebih RM1 juta selepas menumpaskan kegiatan kumpulan penjenayah yang melakukan samun yang menyasarkan mangsa yang baru mengeluarkan wang dari bank malam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 33 dan 35 tahun ditembak mati di Rembau pukul 12.30 tengah malam semalam selepas mereka terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
“Kejadian berbalas tembakan di antara suspek dan sekumpulan angggota polis itu berlangsung dalam tempoh kurang 10 minit. Kedua-duanya maut di tempat kejadian, manakala anggota polis terlibat tidak mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, dua rakan subahat mereka yang merupakan penumpang hadapan dan belakang sebelah kiri melarikan diri ke dalam belukar berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar di sini petang ini.
Noor Azam memaklumkan, insiden berbalas tembakan bermula apabila sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Seremban-Tampin terserempak sebuah kereta Honda Accord dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Jelas beliau lagi, polis cuba menahan kenderaan tersebut tetapi suspek bertindak memecut laju ke arah Jalan Chengkau-Pilin di Rembau.
Katanya, selepas mengejar sejauh empat kilometer, polis berjaya memintas kereta suspek, namun kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh papan tanda jalan.
“Tiba-tiba seorang suspek keluar dari kenderaan dan melepaskan tiga das tembakan, manakala rakannya cuba menyerang anggota polis menggunakan senjata tajam.
“Demi mempertahankan diri, pasukan polis melepaskan empat das tembakan mengenai dada kedua-dua suspek,” katanya.
Beliau memberitahu, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver .32 yang digunakan suspek, manakala sepucuk pistol semi auto jenis Norinco 357 beserta lima butir peluru ditemui di lantai kenderaan itu.
Selain itu, katanya, pemeriksaan lanjut polis di dalam kereta suspek antaranya menemui dua bilah parang sepanjang kira-kira 0.3 meter, sebilah kapak, topi dan vest berlogo PDRM serta lencana kastam.
“Berdasarkan maklumat diterima dan penemuan barang-barang kes dalam kenderaan suspek, mereka disyaki saki-baki kumpulan samun Geng Mamak. Mereka disyaki turut terlibat dalam kejadian samun ke atas mangsa yang keluar dari bank di Lembah Klang dan Negeri Sembilan sejak 2015 hingga tahun ini,” jelasnya.










