Dollah belum berasa puas hati - Utusan Malaysia

Dollah belum berasa puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN menjaringkan empat gol ketika membelasah Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Kuantan kelmarin, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh menyifatkan para pemain skuad Tok Gajah masih belum mencapai kualiti permainan pada tahap sewajarnya.

“Kita menang 4-0 tetapi dari segi permainan, saya tak puas hati. Bagaimanapun, kemenangan ini sangat penting untuk memulihkan semangat pemain-pemain selepas pasukan ini tewas tiga kali pada perlawanan sebelum ini,” ujar Dollah.

Sebagai rekod, Pahang gagal meraih tiga mata pada empat perlawanan terdahulu setelah tewas tiga kali dan satu seri, sekali gus memberi tekanan kepada para pemain yang terdesak memburu kemenangan.
Pada aksi di Stadium Darul Makmur kelmarin, Pahang bangkit mengutip tiga mata apabila mudah membelasah Kuala Lumpur 4-0 menerusi gol jaringan Muslim Ahmad pada minit kelapan, disusuli Safuwan Baharudin (m-41), Issey Nakajima (m-53) dan Iwuji Amutu (m-89).

Mengulas prestasi dipamerkan pemain import baharu, Dollah berkata, Nakajima dan Amutu masih belum mampu memberi aksi terbaik seperti yang mereka tunjukkan ketika sesi latihan.

“Dalam latihan tiada masalah seperti semasa perlawanan, tetapi saya harap jaringan mereka itu mampu menaikkan semangat pasukan,” tambah Dollah.

Sementara itu, Amutu mengakui masih memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian bersama rakan sepasukan bagi membina persefahaman ketika mengharungi perlawanan.

“Semasa perlawanan (sebelum ini), bukan mudah untuk saya memulakan serangan kerana mereka (rakan sepasukan) tidak faham isyarat yang saya berikan.

“Setakat ini, kami masih membina persefahaman dan saya juga berharap kami mampu mendapatkan kemenangan bagi perlawanan akan datang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×