KUALA LUMPUR 15 Mei – Seorang aktivis masyarakat bergelar Datuk Seri dan ibu tunggal masing-masing dihukum penjara 15 bulan dan denda RM24,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menipu dalam urusan mendapatkan anugerah yang membawa gelaran Datuk melibatkan kerugian RM735,000, empat tahun lalu.
Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya, 55, dan Norzihan Zainal Abidin, 56, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama memperdaya lapan individu untuk mempercayai mereka boleh mendapatkan penganugerahan Darjah Kerabat yang membawa gelaran Datuk oleh Kelantan.
Walhal anugerah itu tidak sah mengikut Undang-undang Perlembagaan Tubuh Negeri itu sehingga mendorong semua mangsa menyerahkan wang antara RM60,000 dan RM120,000.
Wang berkenaan didakwa diserahkan oleh kesemua mangsa kepada kedua-dua tertuduh menerusi serahan tangan dan cek di beberapa lokasi di Ampang dan Kepong dekat sini antara Mac 2014 dan Februari 2015.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda.
Terdahulu, peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif yang mewakili Saharuddin dan Shah Rizal Abdul Manan bertindak bagi pihak Norzihan memohon anak-anak guam mereka dikenakan hukuman ringan dengan alasan menghidap pelbagai penyakit termasuk darah tinggi serta sukar untuk berjalan.
Bagaimanapun Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim dan Faridah Nurdini Bahrum memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tertuduh-tertuduh adalah serius kerana mempermainkan institusi diraja di negara ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan denda RM3,000 atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Saharuddin dan Norzihan.
Hasbullah memerintahkan hukuman pemenjaraan tersebut berjalan serentak.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuan diputuskan dan mengekalkan jaminan terdahulu sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.










