KUALA LUMPUR 27 Mei – Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pasaran bursa saham tempatan pada waktu ini, namun aliran keluar dana saham baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan oleh pelbagai pihak.
![]() |
|
MOHD. AFZANIZAM ABDUL RASHID
|
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat ketidaktentuan tersebut akan kembali stabil secara beransur-ansur selepas kerajaan mengumumkan dasar-dasar yang lebih jelas.
Dana asing dilaporkan menarik keluar RM2.48 bilion ekuiti tempatan sebagai tindak balas keputusan yang tidak dijangka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), malah ketidaktentuan pasaran berterusan minggu lepas kerana pendedahan angka kedudukan hutang negara.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB), Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran akan terus merosot sekurang-kurangnya dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan baharu kerana peserta pasaran akan mengambil sikap tunggu dan lihat.
“Kebimbangan terbaharu mengenai geopolitik di Korea Utara serta Asia Barat telah menyebabkan peserta pasaran lebih berhati-hati dengan memegang lebih banyak instrumen seperti tunai bagi berdepan dengan risiko,” jelasnya.
Pada masa sama, kebimbangan terhadap keadaan hutang kerajaan yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan telah menyebabkan pasaran lebih berwaspada, namun jaminan untuk menyelesaikan hutang itu mampu mengurangkan kebimbangan, katanya kepada Bernama.
Mengikut Kementerian Kewangan, jumlah hutang dan liabiliti Malaysia adalah sebanyak RM1.087 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2017, selepas hutang rasmi, liabiliti luar jangkaan dan bayaran pajakan bagi kerjasama awam dan swasta yang dijadualkan bersama.
“Lebih banyak aliran keluar dana asing mungkin terjadi dalam jangka masa terdekat. Tetapi dengan ukuran aliran keluar semasa, ia mampu dikawal kerana asas ekonomi Malaysia masih kukuh.
“Selain itu, ringgit yang dinilai lebih rendah juga mampu menarik dana asing untuk kembali di pasaran saham Malaysia,” kata Mohd. Afzanizam.
Tambah beliau, ringgit akan berlegar sekitar RM3.97 dan RM3.98 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang tempoh 100 hari pertama tersebut.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, kadar jualan dalam ekuiti tempatan telah berkurangan dibantu oleh aktiviti pembelian pelabur tempatan.
“Ia akan menjadi proses yang beransur-ansur untuk membawa masuk semula dana asing. Kita perlu bekerja keras untuk memulihkan keyakinan mereka, saya fikir kita akan berjaya tetapi ia memerlukan sedikit masa,” katanya.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan kadar tertinggi dengan 1,895.18 mata pada 19 April lalu didorong oleh pembelian dana perbankan dan saham berkaitan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menjelang (PRU-14) pada 9 Mei.
Turut bersetuju dengan pemerhatian Mohd. Afzanizam, Teng Siew berkata, satu daripada sebab utama yang mendorong dana asing untuk melepaskan pegangan mereka dalam ekuiti tempatan adalah kebimbangan terhadap hutang awam, yang lebih tinggi daripada pengumuman sebelum ini.
“Sebab lain ialah masalah yang membelenggu pasaran baharu muncul. Aset pasaran terbabit terus dijual kerana kebimbangan tentang aliran keluar yang bermula dengan pengukuhan dolar AS. Mata wang itu mengukuh kerana hasil yang lebih tinggi di AS, dan ia cenderung melemahkan nilai mata wang di pasaran baharu muncul dengan ketara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd., Dr. Kamaruddin Mohd. Nor berkata, pengumuman terbaharu mengenai kedudukan kewangan negara terutama melibatkan hutang dan liabiliti bukan perkara baharu dalam pasaran kewangan meskipun terdapat beberapa butiran yang tidak didedahkan kepada umum sebelum ini.
Beliau berkata, pendedahan tersebut juga mungkin akan membuka mata pelbagai pihak, tetapi ia tidak sama dengan penurunan penarafan kredit.
“Asas-asas ekonomi negara adalah kukuh di kedua-dua pasaran perbankan dan modal serta mempunyai modal yang baik dan menarik.
“Pada masa ini, pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan dan pasukan petugas untuk menangani isu-isu penting adalah langkah yang betul untuk menenangkan pelabur domestik dan asing.
“Dengan lebih penjelasan mengenai hala tuju dasar, keyakiran pasaran akan dapat dikembalikan,” katanya.
Mengulas mengenai ringgit, beliau berkata, mata wang itu akan berada di bawah tekanan, berdasarkan kepada perkembangan baru-baru ini, di kedua-dua pasaran domestik dan luaran. – BERNAMA












