DAP desak Lembaga Pengarah Perak Corporation Berhad letak jawatan - Utusan Malaysia

DAP desak Lembaga Pengarah Perak Corporation Berhad letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 26 Mei – Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming menggesa semua Ahli Lembaga Pengarah Perak Corporation Berhad (PCB) meletak jawatan berikutan kerugian yang dialami syarikat itu bagi tahun kewangan berakhir 2017 mencecah RM340.6 juta seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita berbahasa Inggeris, Rabu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…
DAP desak Lembaga Pengarah Perak Corporation Berhad letak jawatan
Nga Kor Ming 

Kor Ming mendakwa, liabiliti semasa anak syarikat milik kerajaan negeri tersebut yang melebihi aset semasanya sebanyak RM158.5 juta pada penghujung tahun 2017, seperti dinyatakan oleh firma audit luar Ernst & Young, merupakan suatu yang membimbangkan sekali gus boleh membawa kepada kebankrapan.

Beliau mendakwa, antara punca kegagalan berkenaan adalah disebabkan oleh kelemahan pengurusannya yang tidak berwibawa selain kerugian akibat peningkatan hutang daripada taman tema animasi, Movie Animation Park Studios (MAPS).

“Sebagai kerajaan yang penuh bertanggungjawab, saya dengan ini meminta seluruh lembaga pengarah PCB meletak jawatan dengan segera (kerana terdapat lantikan politik). Pengerusi Bukan Eksekutifnya ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan ada juga Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (ADUN Kampung Gajah).

“Sudah terbukti mereka tidak berupaya untuk menguruskan syarikat awam ini dan cara paling bermaruah untuk mereka lakukan sekarang ialah meletakkan jawatan sebelum kerajaan negeri mengambil tindakan dan mereka dipecat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, beliau tidak ingin membuat sebarang tuduhan, namun meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat PCB bagi mengheret mana-mana individu yang terlibat dalam penyelewengan ke muka pengadilan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN