Cubaan jadi negara sekular? - Utusan Malaysia

Cubaan jadi negara sekular?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Desakan pihak-pihak tertentu yang mahu memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau mana-mana institusi agama di negara ini dikhuatiri merupakan cubaan awal untuk mencorakkan negara ini menjadi negara sekular.

Memuatkan artikel berkaitan…
ABDUL RAHMAN
ABDUL RAHMAN

Sehubungan itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu segera bertindak untuk memastikan sebarang gera­kan untuk memansuhkan institusi agama negara ini tidak tersebar dengan meluas.

“Semua rakyat negara ini perlu ingat bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi hak untuk orang bukan Islam mengamalkan agama mereka tidak diganggu.

“Kita kena ingat Malaysia bukan sebuah negara sekular, cubaan untuk mendesak institusi agama seperti Jakim dimansuhkan dilihat sebagai cubaan untuk menjadikan negara ini negara sekular,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

MUSA AWANG
MUSA AWANG

Semalam Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang menegaskan tujuan institusi Islam seperti Jakim ditubuhkan supaya pentadbiran kerajaan tidak bercanggah dengan Islam dan sebarang desakan untuk menghapuskan Jakim wajar ditentang.

Menurut Abdul Rahman, Jakim merupakan sebuah institusi yang menjadi pemudah cara bagi hal-hal yang berkaitan dengan umat Islam seperti penentuan fatwa, falak dan lain-lain lagi.

“Dengan adanya Jakim umat Islam dapat bersatu di dalam hal-hal tertentu kerana setiap perkara berkaitan agama Islam diselaraskan dengan bantuan Jakim jadi amat wajar institusi ini dipertahankan.

“Sebagai contoh, soal penentuan Hari Raya Aidilfitri, negeri-negeri boleh buat keputusan bila tarikh tersebut tetapi dengan adanya Jakim keputusan tersebut diselaraskan,” katanya.

MOHAMAD SHUKRI
MOHAMAD SHUKRI

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan semua pihak agar jangan menyentuh institusi agama di negara ini yang menjadi tunjang dan kepada perpaduan umat Islam.

“Kalau institusi agama seperti Jakim dan lain-lain ditiadakan, jadi maknanya Islam sebagai agama Persekutuan tidak lagi ada roh dan semangatnya.

“Seeloknya institusi agama jangan disentuh atau diganggu kerana kewujudannya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini