KUANTAN – Penyerang import Brazil yang beraksi bersama Pahang, Patrick Cruz terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya dua minggu akibat kecederaan pangkal paha.
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh juga tidak menolak kemungkinan skuad Tok Gajah bakal kehilangan khidmat Cruz sehingga tiga minggu.
“Dia (Cruz) mengalami kecederaan pangkal paha dan mungkin mengambil masa selama dua minggu untuk pulih kerana saya lihat ia agak serius,” ujar Dollah.
Ketika membantu Pahang menewaskan Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Darul Makmur di sini malam semalam, Cruz terpaksa dikeluarkan pada minit ke-17.
Posisi Cruz digantikan R. Kogileswaran yang melakukan banyak percubaan mengegar jaring gawang Kuala Lumpur sejurus dimasukkan pada minit ke-17 serta sepanjang babak kedua perlawanan.
“Jika serius (kecederaan), Cruz mungkin direhatkan sehingga tiga minggu,” tambah Dollah yang kembali mengendalikan skuad Tok Gajah pada musim ini.
Sehubungan perkembangan itu, Cruz dijangka tidak beraksi membantu Pahang menentang Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dijadualkan berlangsung pad a2 Jun depan.
Pada aksi malam semalam, Pahang mencetak gol kemenangan menerusi gol jaringan Muslim Ahmad pada minit ke-8, disusuli Safuwan Baharudin (m-41), Issey Nakajima (m-53) dan Iwuji Amutu (m-89). – K! ONLINE











