BANGKOK 25 Mei – Sokongan padu penonton tuan rumah menyerap semangat luar biasa pemain Thailand yang melakar kejutan mara ke final Piala Uber buat Kali pertama selepas menumbangkan juara 14 Kali, China 3-2 hari ini.
Jeritan Thailand! Thailand! yang bergema di Impact Arena mendorong Busanan Ongbamrungphan memberikan aksi luar biasa ketika menundukkan juara Olimpik 2012, Li Xuerui 21-11, 21-9 dalam perlawanan penentuan.
Terdahulu, juara dunia 2013, Ratchanok Intanon meletakkan Thailand di depan selepas menewaskan pemain No. 5 dunia, Chen Yufei 15-21, 21-9, 21-14.
Beregu No. 1 dunia, Chen Qingchen-Jia Yifan menyamakan kedudukan 1-1 selepas menumpaskan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-17, 22-20.
Nitchaon Jindapol kembali meletakkan Thailand di depan dengan menewaskan Gao Fangjie 19-21, 21-19, 21-12.
Kemenangan sengit Huang Yaqiong-Tang Jinhua 24-26, 21-17, 21-18 ke atas Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai mengheret permainan ke penentuan perseorangan ketiga.
Thailand kini akan berdepan pilihan utama, Jepun dalam penentuan juara esok.
Jepun mara selepas mengalahkan Korea Selatan 3-1 dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Saya sangat teruja kerana mengutip mata kemenangan pasukan.
Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong Thailand yang memenuhi stadium,kata Busanan.











