CABARAN KERAJAAN PAKATAN - Utusan Malaysia

CABARAN KERAJAAN PAKATAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA yang berpandangan adalah lebih sukar untuk Barisan Nasional (BN) memulihkan kekuatan politik mereka berbanding dengan kesukaran dan rintangan yang bakal dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menerajui negara.

Ini kerana pada hakikatnya kemerosotan pengaruh BN adalah begitu nyata bersandarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sementara kerajaan PH hanya baharu dua minggu memerintah Malaysia.

Cabaran yang dihadapi oleh BN dalam melaksanakan proses pemulihan bukan sahaja tertumpu kepada penyokong mereka tetapi juga lebih kritikal untuk memberi perhatian mengapa sebahagian pengundi menolak BN ketika membuat pilihan pada PRU-14.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peletakan jawatan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN dianggap sebagai sebahagian daripada proses pemulihan tersebut.

Tetapi cabaran dan rintangan dihadapi kerajaan PH juga dianggap hebat kerana buat pertama kalinya parti politik DAP, PKR, PPBM dan PAN bergabung menerajui Kerajaan Persekutuan.

Tetapi bagi DAP, PKR dan juga PAN kerjasama dalam pentadbiran kerajaan negeri sedikit sebanyak memberi kelegaan tetapi bagi PPBM ia merupakan rintangan baharu yang pertama kali perlu dihadapi.

Mungkin juga boleh dibandingkan ketika pertama kali PRU Tanah Melayu 1959 selesai, Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC juga buat julung kali terpaksa bekerjasama menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Tetapi setakat itu sahaja persamaan senario yang dihadapi kerajaan Parti Perikatan 1959 dan PH 2018 kerana keadaan politik tanah air ketika ini adalah jauh lebih mencabar.

Cabaran paling ketara ialah struktur pembahagian kuasa yang perlu diterjemahkan melalui lantikan anggota Kabinet.

Uniknya dalam kerajaan PH, Perdana Menteri (PM) bukan daripada parti politik yang memperolehi jumlah kerusi Parlimen terbanyak kerana telah dipersetujui lebih awal oleh PH bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah calon PM mereka.

Mengapa dihujahkan jika PM bukan daripada parti dominan dianggap sebagai rintangan kerana keputusan perlantikan Menteri Kabinet adalah budi bicara PM dan sebab itu juga pelantikan anggota Kabinet kerajaan PH telah melalui beberapa proses pembetulan walaupun telah diumumkan oleh PM terlebih dahulu. Contoh nyata ialah kemelut isu pelantikan Menteri Kewangan dan pendidikan.

Begitu jua dengan kewujudan Majlis Presiden yang terdiri daripada Dr. Mahathir sendiri sebagai pengerusi, serta Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggap sebagai landasan utama menggubal dasar kerajaan, merumitkan lagi struktur organisasi kerajaan PH.

Manfaat

Besar kemungkinan Ketua Umum Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dikhabarkan akan menyertai majlis yang berpengaruh ini. Kehadiran Dr. Mahathir sebagai PM dan Anwar sebagai calon menggantikan Dr. Mahathir sebagai PM dalam jawatankuasa yang sama adalah manifestasi betapa pentingnya peranan majlis ini.

Tetapi setakat ini jika ditinjau komposisi pelantikan menteri, nampak gayanya Dr. Mahathir telah mengguna budi bicara beliau secara maksimum kerana keanggotaan Kabinet tidak menggambar kekuatan jumlah perolehan kerusi Parlimen setiap parti.

PKR sebagai parti yang memperolehi kerusi terbanyak hanya mempunyai dua wakil dalam Kabinet sementara DAP pula mempunyai empat Menteri Kabinet. Manakala PPBM dan PAN pula yang memiliki jumlah Ahli Parlimen terendah dalam PH pula mempunyai tiga Menteri Kabinet.

Jawatan PM dan Timbalan PM tidak boleh dikira dalam congakan komposisi Kabinet kerana kedua-dua jawatan itu telah dipersetujui sebelum keputusan PRU-14 lagi.

Walau bagaimanapun jika ditinjau komposisi 13 jawatan menteri yang diumumkan oleh Dr. Mahathir kelmarin ia dinilai amat menarik kerana beberapa ciri penting.

Pertama terdapat tiga menteri wanita yang menerajui tiga kementerian, dan keduanya Kementerian Pendidikan diterajui oleh Ahli Parlimen Simpang Rengam, Dr. Maszlee Malik yang bukan sahaja ahli politik muda tetapi juga mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam kementerian diterajui.

Harapannya kedua-dua pola pemilihan ini diteruskan oleh PM untuk kementerian yang belum dimuktamadkan. Satu lagi struktur pengagihan kuasa kerajaan PH yang agak menarik ialah kewujudan Majlis Penasihat Kerajaan yang bertindak menasihati kerajaan mengenai hal ekonomi dan kewangan ketika peralihan kuasa.

Lebih menarik, keahlian majlis ini bukan terdiri daripada ahli Parlimen tetapi mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

Walaupun fungsi asas majlis ini adalah untuk meneliti dan memastikan janji manifesto PH mampu dilunaskan dalam masa 100 hari pemerintahan, mahu tidak mahu akan berlaku perbezaan pendapat dan dasar antara menteri berkenaan apabila jawatan menteri dimuktamadkan untuk kementerian yang bersangkut paut.

Beberapa keputusan awal bersifat sementara telah pun dibuat majlis ini seperti kadar sifar terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengekalan harga petrol dan diesel serta tidak berubah mengikut harga semasa.

Harapan rakyat Malaysia adalah mudah iaitu setiap dasar yang bakal digubal sepatutnya memberi manfaat kepada golongan disasarkan terutama sekali isu yang berkait rapat kos sara hidup.

Jika ditinjau keputusan pantas yang dibuat berkait dengan GST dan harga bahan api, begitu nyata sekali kerajaan baharu PH mahu dan mampu menepis segala cabaran dan rintangan yang dihadapi.

Benar juga pemerhatian penganalisis politik yang berpendapat bahawa adalah lebih mudah untuk memenangi PRU kerana perkara yang lebih sukar yang bakal dilalui adalah untuk melunaskan kepercayaan yang telah diberi oleh rakyat.

PENULIS ialah Geostrategist, Perdana School and Geospatial Institute, Universiti Teknologi Malaysia, (UTM) Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN