MERENUNG kepada masa depan umat Islam, apakah faktor yang menjadi cabaran dan kekuatan terhadap umat Islam?
Satu hasil kajian menjangkakan berlaku perubahan ketara terhadap mereka yang memilih gaya hidup tanpa agama atau berfahaman ateis. Kajian menunjukkan terdapat lebih ramai yang akan memilih untuk menjadi ateis berbanding yang memilih untuk beragama. Ini membawa kepada sejumlah 61.4 juta pertambahan golongan ateis di dunia menjelang 2050.
Kewujudan golongan ateis ini menjadi cabaran kepada golongan beragama. Bagi umat Islam, perkara ini amat membimbangkan terutama terhadap golongan muda yang berfahaman sekular serta leka dihanyutkan oleh kebebasan hidup dalam arus kemodenan kota masa kini.
Apakah umat Islam akan terus bertahan pada masa hadapan? Angka kajian menjangkakan agama Kristian akan kekal sebagai agama yang tertinggi di dunia dengan jumlah sebanyak 31.4 peratus, manakala penganut agama Islam akan terus meningkat sehingga mencecah 29.7 peratus daripada 9.3 bilion populasi dunia pada tahun 2050.
Sekiranya trend peningkatan ini berterusan, populasi umat Islam dijangka mengatasi penganut agama Kristian pada tahun 2070. Apakah yang menyebabkan trend peningkatan umat Islam ini berlaku di peringkat global? Terdapat tiga faktor utama menyumbang kepada jangkaan peningkatan penganut agama Islam ini.
Pertama, kadar peningkatan populasi yang berbeza bagi setiap penganut agama. Ini merujuk kepada jumlah kelahiran berbanding jumlah kematian populasi penganut agama Islam. Kajian menjangkakan berlaku peningkatan 213 juta kelahiran berbanding 61 juta kematian yang membawa kepada jumlah peningkatan keseluruhan umat Islam sebanyak 152 juta pada tahun 2050.
Kedua, kadar populasi golongan muda yang berbeza bagi setiap penganut agama utama di dunia. Statistik pada 2010 menganggarkan populasi golongan muda di bawah usia 15 tahun adalah pada kadar 34 peratus bagi remaja Islam dan ini adalah peratusan tertinggi berbanding penganut agama lain. Populasi golongan usia emas pula, iaitu mereka yang berusia 60 tahun ke atas adalah pada kadar 7 peratus pada 2010 dan ini juga adalah angka terkecil bagi penganut agama Islam berbanding agama lain.
Ketiga, kadar pertukaran agama yang berbeza bagi penganut pelbagai agama di dunia. Ini pula merujuk kepada perbezaan jumlah penganut yang memilih untuk menganut berbanding mereka yang memilih untuk keluar daripada agama Islam. Anggaran angka menunjukkan seramai 12.6 juta akan memilih menganut agama Islam berbanding 9.4 juta yang memilih untuk keluar daripada agama Islam. Ini membawa kepada peningkatan sebanyak 3.2 juta penganut Islam pada 2050.
Berdasarkan ketiga-tiga faktor di atas, kesimpulan boleh dibuat faktor populasi dan kesuburan menyumbang kepada jumlah peningkatan ketara (152 juta) bagi umat Islam berbanding faktor pertukaran agama (3.2 juta).
Justeru institusi kekeluargaan memainkan peranan yang sangat kritikal bagi peningkatan umat Islam di serata dunia. Institusi kekeluargaan yang kukuh dapat meningkatkan jumlah pertumbuhan umat Islam secara positif. Namun, perlu juga diingatkan kajian lain juga mendapati hanya keluarga yang mempunyai wanita atau suri rumah tangga yang meletakkan agama sebagai keutamaan sahaja yang mempunyai kemungkinan untuk memperoleh kadar kesuburan atau kelahiran yang tinggi.
Situasi ini dikaitkan dengan nilai murni dan komitmen terhadap agama itu sendiri yang memerlukan seseorang wanita yang meletakkan keutamaan kehidupannya melalui aspek perkahwinan, keibubapaan dan peranan gender dalam keluarga, serta menolak hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan. Perlu juga diambil perhatian kajian turut mendapati bahawa aspek keagamaan bukan sahaja berkait rapat dengan kekeluargaan tetapi juga dalam aspek pendidikan. Tahap pendidikan yang berbeza melahirkan komitmen terhadap agama dengan cara berbeza.
Sebagai contoh, mereka yang mempunyai tahap pendidikan rendah memandang agama sebagai satu keperluan individu. Ini berbeza dengan yang mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi yang memandang agama sebagai bentuk kesatuan dan bersedia mengikuti aktiviti keagamaan secara berkumpulan. Seterusnya, mereka yang mempunyai tahap pendidikan teratas mempunyai keyakinan terhadap institusi keagamaan dan melibatkan diri dalam kegiatan keagamaan dalam ruang lingkup yang lebih besar, misalnya melalui badan amal kebajikan.
Dalam hal ini, dapat disimpulkan tahap pendidikan menjadi ukuran asas bagi komitmen terhadap agama. Komitmen terhadap agama ini akan membentuk komitmen terhadap keluarga. Seterusnya komitmen terhadap keluarga ini akan mencambah kepada peningkatan jumlah umat Islam melalui penghasilan zuriat yang lebih ramai.
Dalam erti kata lain, segalanya bermula daripada proses pendidikan berteraskan agama. Justeru amat penting untuk bermuhasabah tentang peranan kita sebagai seorang umat Islam. Apakah corak pendidikan yang harus kita berikan kepada ahli keluarga kita?
Bagaimanakah kita dapat memainkan peranan sebaiknya supaya ikatan keluarga dapat dikekalkan berlandaskan budaya Islam? Dan bagaimanakah keluarga kita akhirnya dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan umat Islam secara keseluruhannya?
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











