HUBUNGAN strategik luar dan geopolitik antarabangsa Malaysia sejak beberapa tahun lalu berhadapan pelbagai cabaran dan polemik. Ini dapat dinilai melalui pengaruh ke atas Malaysia dengan risiko penjajahan China melalui strategi one belt one road. Selain itu, pengaruh Malaysia dalam sidang serantau ASEAN juga agak tersepit setelah ketegangan diplomatik Malaysia-Korea tercetus.
Dua peristiwa kehilangan pesawat MH370 dan pesawat MH17 ditembak jatuh jelas mencabar urusan diplomasi antarabangsa negara yang memerlukan kepandaian untuk mengurus dan merungkai apa yang berlaku. Ditambah tekanan politik daripada Amerika melalui penyiasatan dan penyitaan aset syarikat 1MDB.
Hutang negara akibat 1MDB berjumlah RM42 bilion perlu dijelaskan secara ansuran setiap tahun seperti yang dilaporkan di dalam laporan audit minggu lepas. Tanpa kita sedar Kementerian Luar bertanggungjawab besar dalam proses mengembalikan maruah kedaulatan negara setelah skandal 1MDB benar-benar mencabar risiko geopolitik negara kita.
Di sinilah rancangan strategik perangkap geopolitik Bank Dunia melalui sistem kewangan Goldman Sachs ceti dunia yang memain peranan memberi pinjaman kepada Malaysia yang berhutang tinggi bersama kadar bunga pinjaman melampau yang berisiko.
Malaysia masih lagi berpotensi diselamatkan selepas sistem pentadbiran negara berubah kepada Pakatan Harapan. Namun, di sini terdapat tugas getir buat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Luar untuk memastikan dasar negara perantara dan rundingan antara negara luar terutama China dan Amerika Syarikat (AS) tidak menggugat kestabilan politik negara.
Selepas pengumuman 10 barisan Kabinet kementerian oleh Perdana Menteri beberapa hari lalu, calon menteri Kabinet bagi Kementerian Luar masih menjadi teka teki. Siapakah yang bakal memegang tanggungjawab hal ehwal antarabangsa negara?
Terdapat tiga nama yang boleh disenarai pendek untuk dinilai, iaitu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Saifuddin Nasution. Walaupun Mukhriz telah diangkat sebagai Menteri Besar Kedah, nama lain yang berpotensi menggantikan beliau ialah Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang juga seorang teknokrat berpengalaman.
Mukhriz mempunyai pengalaman semasa menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Mempunyai latar belakang akademik Pengurusan dan Pentadbiran Pemasaran dari University of Boston dan Sophia University di Tokyo yang sememangnya melayakkan beliau menerajui Wisma Putra.
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Biro Antarabangsa semasa menjawat posisi Exco Pemuda UMNO dan merupakan Pengerusi Yayasan Perdana Peace Global Organisation. Ini menguatkan latar belakang beliau dalam memahami hal ehwal perhubungan antarabangsa dan diplomasi.
Mujahid ialah individu yang mempunyai kekuatan syariah dan sains politik berdasarkan latar belakang akademik Ijazah dan PhD beliau. Pengalaman sebagai Ahli Majlis di dalam kumpulan pemikir IDEAS turut memberi merit profesional beliau, selain kebolehan menguasai dua bahasa asing iaitu Inggeris dan Arab.
Ini boleh di terjemahkan dalam mengangkat agenda diplomatik Islam di dalam skala keutamaan dasar politik luar negara terutama di dalam perkara resolusi diplomatik negara Arab berkonflik, krisis Israel ke atas Baitulmuqaddis Timur dan pendirian terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap krisis Syria, Yemen, Rohingya selain isu kemanusiaan.
Sementara itu, Saifuddin graduan lulusan dari Jepun dan Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah menjadi setiausaha politik kepada bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar juga mempunyai kekuatan tersendiri.
Portfolio Kementerian Luar luas mencakupi hubungan dua hala politik dunia-Malaysia melalui faktor geografi yang melibatkan 100 pejabat perwakilan negara di luar negeri. Dr. Mahathir memerlukan individu yang benar-benar kompeten dan cekap untuk menyusun atur strategi geopolitik, geoekonomi, dan geodiplomatik negara.
Tugas besar menanti Menteri Luar dalam memastikan rantai China-lisasi, pertarungan diplomasi kuasa besar seperti Amerika Syarikat-Rusia dapat di kawal dengan bijaksana selain kedaulatan negara diperkukuhkan berdasarkan kefahaman mengenai selok belok urusan diplomatik dan dasar keselamatan negara.
Selamat berdiplomasi.
PENULIS ialah Exco Pemuda PPBM yang memegang portfolio Perhubungan Antarabangsa dan Tugas Khas yang kini mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di United Kingdom..











