Butang baju bentuk bulan bintang, wau trend terkini - Utusan Malaysia

Butang baju bentuk bulan bintang, wau trend terkini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Setiap tahun pasti ada kelainan dan rekaan terkini fesyen pakaian untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Jika tahun lalu, pakaian jenis ‘slim-fit’ dan butang berbentuk keris menjadi pilihan orang ramai untuk mengenakannya pada hari pertama Aidilfitri.

Kali ini terdapat pelbagai rekaan dan trend terkini bagi rekaan baju Melayu, baju Kurung dan butang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam tinjauan Utusan Online, baju Melayu ‘slim-fit’ masih lagi menjadi trend, tetapi didatangkan dengan rekaan terkini bagi menepati citarasa pembeli.

Peniaga gerai pakaian, Wak Dol Songkok, Sri Atika Dewi Harfizal, memberitahu butang bulan bintang adalah gaya terbaharu untuk butang baju Melayu sementara butang keris didatangkan dengan rekaan terkini.

“Butang berbentuk bulan bintang dan wau menampilkan ciri-ciri Islamik dan identiti orang Melayu merupakan gaya yang terkini tampil dalam warna perak dan kuning keemasan.

“Namun, butang keris masih ada cuma rekaannya ditambah baik dengan meletakkan batu permata sebagai hiasan. Harganya pula antara RM10 hingga RM35 sekotak,” katanya.

Sementara itu, peniaga AlNNajah Exclusive, Ahmad Ibrahim pula menunjukkan rekaan terkini baju Melayu konsep moden dengan dimudahkan cara pemakaiannya.

“Baju Melayu rekaan AlNNajah mempunyai zip pada bahagian sisi supaya mudah dipakai dan lengan pula mudah untuk mengambil wuduk,” ujarnya.

Bagi peniaga R-Qal Exclusive, Sazrul Aiman, ciri baju Melayu yang dijual menampilan ciri-ciri sut eksklusif namun masih mengekalkan identiti tradisionalnya.

“Gaya ‘slim-fit’ masih kekal cuma rekaan pada potongan dan poket diubah. Tiada lagi dua poket di bahagian bawah kecuali di dada kiri. Rekaan eksklusif membuatkan si pemakainya kelihatan tegap dan segak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini