MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam rancangan Bicara Khas yang disiarkan secara langsung oleh RTM baru-baru ini menyebut bahawa beliau komited menjamin kebebasan media dalam melaporkan berita dan membuat kritikan kepada kerajaan.
Menurutnya, laporan berita dengan tepat tanpa berat sebelah berupaya mencorak pemikiran masyarakat lebih matang. Beliau juga bersedia untuk membuka ruang perdebatan di kaca televisyen bagi isu-isu yang timbul supaya masyarakat mendapat maklumat dan memahami sesuatu isu itu dengan lebih jelas dan tepat.
Beliau menegaskan komitmennya untuk mewujudkan media yang bebas dan perdebatan terbuka adalah sebahagian daripada aspirasi Pakatan Harapan (PH) yang mahu menegakkan sistem kebebasan dalam amalan media di negara ini.
Bagi beliau, rakyat telah matang dan berhak mendapatkan berita dan maklumat dengan adil dan telus. Sudah tentu jaminan yang diberikan oleh menteri itu melegakan pengamal media dan rakyat di negara ini. Yang penting, apa yang dijanjikan itu dikotakan.
Sekiranya kerajaan benar-benar dapat mengotakan janjinya itu maka sudah pasti media di negara ini akan menjadi lebih bertanggungjawab dan telus dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat tidak kira dari pihak kerajaan mahupun dari pihak pembangkang serta berani mengkritik kerajaan.
Selama ini politikus dari pihak pembangkang menuntut kebebasan yang lebih diberikan kepada mereka untuk menyatakan pandangan mereka di media-media arus perdana.
Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad juga telah memberikan jaminan bahawa kerajaan akan membuka ruang untuk media bebas mengkritik pentadbirannya.
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis Sosiopolitik bebas











