Bom gegar Pekanbaru - Utusan Malaysia

Bom gegar Pekanbaru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKANBARU 16 Mei – Seorang anggota polis dan empat lelaki disyaki pengganas terbunuh dalam kejadian serangan di ibu pejabat polis Riau dekat sini.

Serangan terbaharu di Pekanbaru, Sumatra itu menyaksikan sekumpulan lima lelaki yang menaiki sebuah van bertindak me­rempuh pintu masuk ibu pejabat polis sebelum menyerang pegawai dengan pedang samurai.

“Empat penyerang ditembak mati dan seorang melarikan diri namun suspek kelima itu kemudian berjaya ditangkap,” kata jurucakap polis, Setyo Wasisto.

Rakaman siaran televisyen turut menunjukkan keadaan mayat empat suspek yang terbaring selepas ditembak polis.

Katanya, dua orang turut cedera termasuk seorang wartawan tempatan yang sedang membuat liputan sidang akhbar mengenai dadah ketika serangan berlaku.

Sehingga kini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Tidak jelas sama ada insiden berkenaan mempunyai kaitan de­ngan serangan bom bunuh diri ke atas tiga buah gereja dan sebuah balai polis di Surabaya awal minggu ini.

Siri serangan tersebut meletakkan Indonesia dalam keadaan ber­jaga-jaga ketika negara bermajo­riti umat Islam terbesar di dunia itu menyambut kedatangan bulan Ramadan esok.

Keadaan tersebut turut memberi tekanan kepada ahli Parlimen untuk meluluskan undang-undang keselamatan yang akan memberi pihak polis lebih kuasa untuk mengambil tindakan awal terhadap mereka yang disyaki me­rancang serangan keganasan.

Indonesia bakal menjadi tuan rumah Sukan Asia dalam masa tiga bulan lagi dan mesyuarat Bank Dunia di Bali pada bulan Oktober ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN