IPOH – Barisan Nasional (BN) mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka telah membuat keputusan untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri Perak.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya agak terkejut dengan keputusan dua ADUN tersebut yang secara tiba-tiba menzahirkan sokongan kepada PH.
“Sudah tentu kami terkejut. Tiada sebarang makluman kepada kami mengenai perkara itu dan kami tidak menyangka mereka melakukannya.
“Dengan keputusan mereka itu, kita boleh sahkan bahawa mereka berdua sudah lompat parti,” katanya pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini sebentar tadi.
Zambry bagaimanapun tidak mendedahkan identiti dua ADUN BN tersebut. Difahamkan, ADUN berkenaan adalah dari DUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Tambah Zambry, BN akan meneliti tindakan mereka dan akan mengambil tindakan sewajarnya kelak.
Katanya, BN berterima kasih kepada para pengundi yang melaksanakan tugas mengundi parti yang disukai pada Rabu lalu dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
“Keputusan di Perak menunjukkan rakyat negeri ini memilih wakil mereka dari tiga parti berbeza dan ia dianggap unik.
“BN di Perak akan berazam menjadi pembangkang yang bertanggungjawab di negeri ini,” katanya. – K! ONLINE










