BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 25 MEI 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 25 MEI 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG tertanya-tanya apakah episod seterusnya berhubung kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis. Semalam, Datuk Seri Azlan Man yang mengangkat sumpah jawatan itu tidak mendapat sokongan majoriti. Kegagalan beliau mendapat sokongan terbukti apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak hadir pada majlis yang berlangsung di Istana Arau.

Lebih rumit apabila Barisan Nasional (BN) Perlis memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu berkuat kuasa serta merta. Timbul persoalan apakah status terkini Azlan sebagai Menteri Besar? Jika tanpa parti, siapakah penyokongnya yang boleh menjamin kedudukan sebagai Menteri Besar?

Amat malang isu pelantikan Menteri Besar ini berlarutan selepas dua minggu pilihan raya umum. Pada tahun 2008 juga timbul masalah yang hampir sama. Perlis hanyalah negeri kecil tetapi terakhir membentuk kerajaan negeri walaupun BN menang dengan majoriti dua pertiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika prestasi BN menjunam, isu seumpama ini hanya menambahkan lagi kekusutan yang sedang dihadapi. Kesannya bukan sahaja kepada parti tetapi juga rakyat seluruhnya.

Awang berharap, isu ini dapat ditangani dengan segera bagi mengelakkan krisis kepemimpinan politik dengan pihak istana berlarutan. Jangan bazirkan masa. Kini masa untuk bekerja bagi kepentingan rakyat. Selesaikan isu ini bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

AWANG – Tunggu dan lihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini