KUALA LUMPUR 10 Mei – Orang ramai dinasihatkan agar berlapang dada serta menerima apa sahaja keputusan sebaik sahaja proses pengiraan undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14, selesai dijalankan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua pihak perlu menerima apa jua keputusan pilihan raya memandangkan ia adalah hak individu yang memilihnya.
“Kita mesti ‘gentleman’ terima keputusan yang dibuat oleh semua pengundi sama ada di peringkat Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Fuzi juga menjelaskan, kesediaan Polis Diraja Malaysia berada ditahap tertinggi bagi memantau dan mengawasi perjalanan saat-saat akhir mengundi; pengiraan dan pengumuman keputusan.
Jelasnya, sehingga tengah malam semalam, PDRM sudah menerima lebih 1,934 laporan polis di seluruh negara berhubung perbuatan khianat dan sabotaj serta membakar bendera parti yang bertanding. – UTUSAN ONLINE










