Berembun di malam raya - Utusan Malaysia

Berembun di malam raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Mei – Berembun di perkuburan pada malam Hari Raya Aidilfitri sudah menjadi rutin setiap tahun kepada seorang pembuat belindan dan batu nisan dari Kampung Bunut Payong di sini.

Warga emas, Wan Jonee Wan Mahmood, 60, yang mengambil alih perniagaan membuat belindan daripada arwah bapa saudaranya pada 2002 berkata, ia bukan sesuatu pelik memasang belindan di kubur pada malam dan juga pagi raya kerana ketika inilah khidmatnya amat diperlukan.

“Tempahan selalunya lebih banyak pada penghujung Ramadan dan semasa sambutan Syawal sendiri.

“Perantau yang balik kampung ketika itu biasanya menziarahi kubur, jika tempat presemadian arwah ibu bapa atau keluarga mereka belum mempunyai belindan seperti kubur lain maka mulalah mereka mencari orang seperti saya.

“Sebab itu pada minggu Hari Raya saya memang perlu bersedia menerima tempahan untuk membantu waris yang masih hidup berbakti kepada ahli keluarga mereka yang meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Bunut Payong di sini.

Wan Jonee yang dahulu pernah berkecimpung dalam bidang penulisan berkata, beliau dengan bantuan empat pekerja menghasilkan pelbagai jenis belindan termasuk dari simen, mozek, marmar dan terrazo dengan harga bermula daripada RM 300 hingga ribuan ringgit manakala batu nesan pula dijual antara RM100 hingga RM 2,000.

“Belindan paling mahal pernah saya buat adalah dari kayu cengal bernilai RM40,000 untuk kerabat diraja yang memakan masa tiga bulan untuk siap,” katanya.

Menyentuh perkembangan perniagaannya, Wan Jonee berkata, selain persaingan yang semakin banyak, antara isu yang perlu dihadapi adalah saiz perkuburan yang semakin sempit.

“Banyak perkuburan terutama tanah wakaf di bandar tidak membenarkan pemasangan belindan kerana ia memakan ruang.

“Jadi sejak beberapa tahun lalu saya perkenalkan belindan pasang siap menggunakan bata kilat, ia hanya dilekatkan menggunakan pasir dan batang besi jadi mudah untuk dialihkan sekiranya perlu, harganya juga tidak mahal iaitu antara RM200 hingga RM450 sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN