KUALA LUMPUR 27 Mei – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Asia X, Azran Osman Rani, 47, cedera selepas dilanggar sebuah kereta dari arah belakang di Jalan Tuanku Abdul Halim menghala ke Jalan Kuching di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.55 pagi ketika mangsa sedang menunggang basikal.
“Siasatan awal mendapati mangsa dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu oleh seorang pelajar berusia 20 tahun.
“Pemandu kereta pada awalnya berada di lorong kiri menghala ke Jalan Kuching sebelum mengubah haluan masuk ke susur kiri menghala ke Damansara, dekat sini.
“Ketika kejadian, pemandu tidak perasan mangsa yang berada di hadapan dan telah melanggarnya dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.










