Beberapa lagi anggota Kabinet akan diumumkan - PM - Utusan Malaysia

Beberapa lagi anggota Kabinet akan diumumkan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beberapa lagi anggota Kabinet bakal diumumkan dalam tempoh dua minggu akan datang terutamanya bagi mengisi portfolio penting seperti Kementerian Luar.

Beliau bagaimanapun me­ngakui berdepan cabaran untuk membentuk Kabinetnya kerana perlu membuat pertimbangan dari segi agihan bilangan dan jenis kementerian yang akan diperuntukkan kepada setiap empat parti dalam Pakatan Harapan.

Malah katanya, faktor kaum dan negeri kelahiran juga menjadi antara cabaran beliau untuk menamakan seseorang menteri bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan empat parti gabungan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terdapat empat parti dan inilah yang menimbulkan masalah. Saya perlu mengambil kira berapa jumlah kementerian yang mereka dapat dan apakah kementerian yang mereka peroleh.

“Ini berbeza sewaktu menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 apabila saya hanya perlu mengisi tempat kosong setiap kementerian, kerana kebanyakan (ahli Parlimen) merupakan ahli-ahli UMNO,” katanya dalam klip video temu bual bersama The Edge Markets yang turut dimuat naik dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Dr. Mahathir turut menjelaskan, pengalaman Lim Guan Eng yang berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan Pulau Pinang sewaktu menjawat jawatan Ketua Menteri menjadi sebab utama mengapa Setiausaha Agung DAP itu dipilih sebagai Menteri Kewangan.

“Sudah tentu kaum Melayu mahu jawatan itu disandang oleh Melayu. Tetapi sebelum ini kita pernah melantik seorang berbangsa Melayu sebagai Menteri Kewangan tetapi beliau menyebabkan kehilangan banyak wang.

“Bukan soal bangsa, tetapi yang penting adalah kualiti dan pengetahuan seseorang itu,” katanya.

Katanya, sejak 2008, DAP berjaya menguruskan kewa­ngan Pulau Pinang lebih baik berbanding kerajaan sebelum­nya walaupun sentiasa berdepan tekanan kerana perbezaan parti politik dengan kerajaan Pusat.

Namun beliau mengakui beberapa pihak tidak gembira dengan keputusannya untuk melantik Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang akan mengetuai beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) secara tidak langsung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini