PUTRAJAYA – Bekalan barangan keperluan sepanjang bulan Ramadan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, kementeriannya mengambil langkah proaktif memastikan bekalan mencukupi melalui peningkatan pengeluaran tempatan dan menambahkan kuota import bagi beberapa negara terpilih serta melaksanakan sekatan eksport ikan ke luar negara.
“Perancangan bagi menjamin bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi bagi menghadapi musim perayaan telah dibuat sejak tiga bulan yang lalu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Salahuddin, bagi tempoh sebulan musim perayaan sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri, anggaran jumlah pengeluaran bahan-bahan utama makanan adalah 49,733 metrik tan daging lembu (tempatan dan import); 351,046 metrik tan ayam (tempatan); 2,808 juta biji telur ayam; 15,000 metrik tan kobis bulat dan 108,500 metrik tan ikan (pelbagai spesies).
Kadar harga jualan di pasar khususnya di pasar tani sepatutnya berpatutan walaupun berlaku peningkatan permintaan semasa musim perayaan ini, katanya. – Bernama











