SHAH ALAM – Bekalan barangan keperluan asas di Selangor sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi.
Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menasihati pengguna di negeri ini supaya jangan membuat pembelian barangan melebihi keperluan atau pembelian panik.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, pemeriksaan pihaknya setakat ini di pasaraya, pemborong dan kedai runcit di sekitar Selangor mendapati barangan keperluan asas seperti ayam dan sayur-sayuran adalah mencukupi.
“Cuma saya nak nasihatkan pengguna perlu bijak berbelanja dan memilih premis perniagaan yang menawarkan harga yang berpatutan menjelang musim perayaan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemeriksaan harga di Pasaraya Checkers di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNKK Selangor menyasarkan pemeriksaan harga barangan ke atas 1,000 premis perniagaan menjelang sifar kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 Jun depan.
Katanya, pemeriksaan terbabit bagi membolehkan perbandingan harga barangan dapat dibuat sebelum dan selepas pelaksanaan sifar GST. – Bernama










