PUTRAJAYA 16 Mei – Terdapat lebih banyak kesalahan dan penyelewengan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbanding yang diketahui umum sebelum ini, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, beliau telah diberi taklimat daripada pihak polis serta membaca laporan pengauditan yang telah dikelaskan sebagai dokumen terbuka, semalam.
“Kita akan mengambil tindakan dan membuat laporan polis, apabila sampai tahap kita boleh membuat tangkapan, kita akan tangkap mereka yang bersalah.
“Tiada perbezaan antara orang tertentu (pangkat dan kedudukan) untuk didakwa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Semalam Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dalam satu kenyataan berkata, laporan pengauditan 1MDB tersebut yang pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016 kini sudah boleh dirujuk orang ramai.
Dr. Mahathir menambah, adalah penting bagi kerajaan untuk membawa pulang wang berkaitan 1MDB dari negara-negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.
“Sebab itu kita hubungi negara-negara terlibat untuk kita dapatkan semula duit yang ada pada mereka. Kita buat kenyataan bahawa wang itu milik Malaysia dan 1MDB.
“Jumlahnya agak besar dan ini akan menolong kita dalam menyelesaikan pelbagai jenis hutang,” katanya.
Beliau menjelaskan, jumlah sebenar keseluruhan wang berkenaan di luar negara masih belum dapat diketahui lagi tetapi jumlah terbesar adalah di AS iaitu AS$4.5 bilion (RM18.83 bilion).
Perdana Menteri berkata, kerajaan hari ini juga perlu membayar hutang 1MDB sekiranya hutang-hutang tersebut membawa implikasi buruk kepada negara dan beliau telah pun bertemu dengan pengurusan syarikat tersebut.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, terpulang kepada polis untuk memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu siasatan 1MDB.










