SAUDARA PENGARANG, ISU rasuah kini dilihat semakin berleluasa. Kita dapat lihat melalui media massa ada sahaja isu rasuah dilaporkan berlaku dalam masyarakat sama ada melibatkan orang biasa ataupun orang kenamaan.
Walaupun pelbagai kempen telah dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu rasuah tetapi gejala ini nampaknya semakin parah bagaikan satu fenomena biasa sahaja, tidak kira dalam bidang politik, perniagaan, penguatkuasaan dan sebagainya.
Menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), kedudukan Malaysia telah merosot dari tangga 55 pada 2016 ke tangga 62 pada 2017. CPI ini merangkumi 180 buah negara.
Ukuran skor Malaysia dalam indeks tersebut juga menurun kepada 47 berbanding 49 pada tahun lalu. Gejala rasuah membawa pelbagai kerosakan dan ancaman kepada negara. Rasuah menjadi penyebab utama kadar jenayah seperti pengedaran dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan barangan terlarang dan sebagainya terus meningkat.
Hal ini berlaku disebabkan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap amanah diberikan. Mereka menerima sogokan demi kepentingan diri tanpa menghiraukan keselamatan dan keamanan negara.
Selain itu, rasuah juga menyebabkan berlaku ketidakadilan kerana menindas atau merampas hak orang lain. Sebagai contoh, hasil pendapatan negara yang sepatutnya disalurkan kepada membina kemudahan awam dan membantu rakyat yang kurang berkemampuan tidak diagihkan kerana berlaku penyelewengan.
Seterusnya, kehidupan rakyat juga akan terjejas kerana tidak mendapat hak yang saksama disebabkan ekonomi hanya dipelopori golongan tertentu. Hal ini mengakibatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin semakin besar.
Rasuah juga menjejaskan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Lihat apa yang berlaku di Korea apabila presiden wanita pertama mereka digulingkan akibat tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Untuk membendung masalah rasuah, semua pihak perlu memainkan peranan mereka dan tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat.
Usaha membanteras rasuah perlu bermula daripada kepemimpinan negara. Untuk melahirkan sebuah negara maju dan bebas rasuah perlu bermula dengan pemimpin yang bertanggungjawab, amanah, cekap dan tegas.
Jika pemimpin itu sendiri terjebak dalam gejala rasuah, bagaimana kita hendak mendirikan sebuah negara yang aman dan bebas dari jenayah rasuah?
Seorang pemimpin perlu bersikap jujur dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Di samping itu, kita sebagai rakyat juga perlu membanteras masalah ini. Laporkan segera aktiviti rasuah yang berlaku di sekeliling kita.
Janganlah mudah terpedaya dengan pemberian oleh pihak tertentu yang ingin meraih bantuan kita demi kepentingan peribadi mereka. Ini boleh dianggap sebagai rasuah kerana menjadi imbuhan untuk membantu memberi keuntungan kepada pihak tertentu.
Sesungguhnya, rasuah adalah musuh negara. Dalam Islam, rasuah amatlah dilarang sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 188, “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
NURSHAHIDAH SAJAH








