KUALA LUMPUR 22 Mei – Sebanyak 6,000 pek bubur lambuk berjaya dimasak dan diagihkan sempena program Pautan Ramadan – Kacau Bubur Lambuk Bank Rakyat 2018 yang berlangsung di Menara Berkembar Bank Rakyat di sini hari ini.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat dengan kerjasama kumpulan tukang masak dari Kampung Baru itu bertujuan mengeratkan hubungan institusi kewangan itu dengan masyarakat.
Acara gotong-royong memasak 15 kawah bubur lambuk itu turut disertai Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Pengarah Urusan merangkap Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.
Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, kira-kira 40 kakitangan terlibat dalam program yang bermula pada pukul 10 pagi itu.
Katanya, bubur lambuk tersebut diagihkan di beberapa lokasi tumpuan ramai antaranya Masjid Negara, Stesen KL Sentral, Bangsar dan beberapa pejabat agensi media berhampiran.
“Program yang masuk tahun kelima itu turut meneruskan kempen Ceria Beraya 2018 melalui tawaran kredit kewangan meliputi pembiayaan peribadi, kad kredit, kenderaan serta perumahan sempena persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










