KUALA LUMPUR 24 Mei – Bank Negara Malaysia (BNM) akan menggunakan kuasa penguatkuasaan dengan mengenakan penalti pentadbiran seperti diperuntukkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 terhadap institusi kewangan yang berdepan salah laku serius.
Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew Cheng Lian berkata, bank pusat akan terus melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang boleh dipercayai bagi menangani salah laku menerusi tindakan penguatkuasaan termasuk menghalang individu daripada memegang jawatan kanan dalam institusi kewangan.
“Kami akan meneruskan usaha untuk menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan bagi pelanggaran salah laku yang serius ke tahap kuasa penuh yang diberikan di bawah undang-undang yang ditadbirkan oleh BNM.
“Bagi yang di luar bidang kuasa bank pusat, BNM mengekalkan kerjasama yang erat dengan pihak berkuasa lain bagi memudahkan tindakan siasatan dan langkah penguatkuasaan diambil,” katanya.
Beliau berucap demikian di majlis perasmian pelancaran Kod Profesional Baharu bagi Industri Perkhidmatan Kewangan oleh Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan (FSPB) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi FSPB yang juga Pengerusi Bank Muamalat Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AIA Group, Ng Kheng Hooi; bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers, Datuk Seri Johan Raslan dan Pengerusi Lembaga Amanah, Majlis Penilaian Standard Antarabangsa, David Tweedie.
Kod profesional itu bagi menerapkan teras standard minimum bagi tingkah laku, meningkatkan keyakinan dan menggalakkan kemapanan dalam sektor berkenaan bagi mengukuhkan budaya profesionalisme.
Menurut Cheng Lian, dalam tempoh lima tahun lalu BNM telah mengenakan denda sebanyak RM116 juta ke atas penyedia perkhidmatan kewangan disebabkan oleh perbuatan salah laku.
Katanya, kaji selidik yang dijalankan bank pusat mendapati dua pertiga daripada kerugian institusi perkhidmatan kewangan yang dilaporkan pada 2016 dikaitkan dengan penipuan dalaman, ketidakpatuhan peraturan dan kesukaran operasi.
“Di sebalik pelbagai usaha berterusan untuk menangani isu berkenaan, insiden salah laku akan terus memberi kesan buruk kepada industri perkhidmatan kewangan di seluruh dunia,” ujarnya.










