KUDAT 25 Mei – Pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis adalah sah meskipun beliau tidak mendapat sokongan majoriti daripada kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan berkata, apa yang paling penting sekarang, kerajaan negeri sudah terbentuk dan Azlan boleh menjalankan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar selepas selesai mengangkat sumpah jawatan tersebut semalam.
Dalam masa sama katanya, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Azlan dan dijangka Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dilantik dalam tempoh terdekat apabila keadaan kembali reda.
“Apa yang penting sekarang ini, Menteri Besar sudah dilantik dan pelantikan itu adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Saya juga berharap semua pihak dapat menghormati keputusan dan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan di Hospital Kudat di sini hari ini.
Isu pelantikan Menteri Besar Perlis mendapat perhatian meluas media-media massa kerana sebaik sahaja Azlan diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu, ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya daripada Umno.
Pemecatan itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengadakan sidang akhbar di ibu negara bersama kesemua sembilan wakil rakyat BN.
Berikutan itu, istiadat pelantikan Menteri Besar pada masa sama berlangsung dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dihadiri oleh seorang pun wakil rakyat daripada BN, yang dipercayai memboikot pelantikan Azlan.
Sebelum ini, isu pelantikan Menteri Besar telah berlarutan sehingga dua minggu sejak 9 Mei lalu apabila Tuanku Syed Sirajuddin tidak berkenan dengan calon untuk mengisi jawatan itu, Datuk Ismail Kassim yang dinamakan oleh Shahidan. Di sebalik kemelut tersebut, Azlan yang juga Timbalan Badan Perhubungan UMNO Perlis hadir ke pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar bagi memulakan tugasnya yang pertama hari ini.
Dalam pada itu, Syed Omar memberitahu, pihaknya sebelum ini telah menghantar surat jemputan istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar termasuk menghubungi dan menghantar mesej kepada wakil-wakil rakyat BN, walau bagaimanapun mereka tidak memberi maklum balas termasuk menjawab panggilan telefon.
“Kita jemput awal lagi, tetapi mereka tidak hadir. Kita juga membuat panggilan dan menghantar mesej tetapi tidak berjawab. Nasihat saya, jika kita rasa apa yang kita lakukan itu salah, segeralah memohon maaf kepada Raja Perlis,” katanya.











