LONDON 11 Mei – Hanya dengan semangkuk buah sehari, seorang wanita mampu kekal muda dan tidak perlu berbelanja besar untuk membeli krim dan losyen mahal untuk tujuan itu.
DailyMail melaporkan, penyelidik Pusat Perubatan Erasmus di Rotterdam mendapati seseorang wanita yang mengamalkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar mempunyai sedikit kedutan di muka apabila melepasi usia 50 tahun berbanding yang tidak makan makanan sihat.
Bagaimanapun, kajian turut mendapati lelaki yang mengambil makanan seimbang dan sihat tidak mengalami perubahan pada penampilan mereka.
Wanita yang makan lebih roti, daging merah dan gula mempunyai lebih kedutan di wajah.
Kajian itu juga merumuskan makan buah adalah alternatif menjimatkan berbanding sebotol krim atau losyen bagi wanita yang ingin mempunyai kulit muda remaja.
Penemuan itu dirumuskan daripada kaji selidik tabiat pemakanan kalangan 2,700 lelaki dan wanita berusia lebih 50 tahun dan diterbitkan dalam Journal of the American Academy of Dermatology.










