Asas ekonomi Malaysia kukuh - Utusan Malaysia

Asas ekonomi Malaysia kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Mei – Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan risiko pilihan raya akan dinilai semula pada bulan-bulan akan datang sejajar dengan lebih kejelasan mengenai rancangan dan langkah yang dicadangkan di bawah pentadbiran baharu.

Ahli Ekonomi Kanan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd., Julia Goh berkata, perkara utama yang akan dilihat dalam 100 hari akan datang termasuklah calon-calon menteri untuk jawatan kementerian penting dan langkah dasar serta bagaimana kerajaan baharu melaksanakan pembaharuan institusi seperti yang dinyatakan dalam manifesto mereka.

Katanya, gabungan peme­rintah telah menjanjikan pembaharuan fiskal dalam 100 hari pertama untuk memberi tumpuan kepada belanjawan dan kewangan Persekutuan, pengurusan aset liabiliti dan obligasi hutang kerajaan, termasuk kajian semula semua projek utama terutama yang dibiayai di luar projek pembangunan.

“Bagi kerajaan baharu tersebut, kebimbangan ekonomi rakyat yang perlu diutamakan serta ditangani termasuk kenaikan kos sara hidup, ketelusan dan tadbir urus.

Kebimbangan segera adalah ketidakpastian mengenai pembentukan kerajaan yang akan datang,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh malam tadi berkata, kerajaan akan me­numpukan kepada pengurusan kewangan dan ekonomi negara serta memberi jaminan kerajaan mahu terus kekal sebagai negara daga­ngan mesra perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha untuk menjadikan ringgit sekukuh yang mungkin dan tidak mahu menyebabkan penurunan nilai ringgit yang akan menjadikan mata wang itu tidak kompetitif.

Dalam dagangan awal pagi semalam, ringgit dalam pasaran luar pesisir menyusut 1.7 peratus kepada RM4.0461 berbanding dolar Amerika Syarikat sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagimanapun, petang ini, ringgit dalam pasaran luar pesisir mengukuh 1.7 peratus kepada RM4.0075 berbanding dolar AS. Pasaran bursa dan mata wang di Malaysia ditutup dua hari sempena cuti umum sempena kemenangan PH. Pada Selasa, ringgit ditu­tup RM3.9480 berbanding dolar AS.

Sementara itu, Affin Hwang Capi­tal berkata, kerajaan yang baharu dibentuk dijangka me­ngekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.5 hingga enam peratus tahun ini sejajar de­ngan unjuran Bank Negara Malaysia.

Katanya, ekonomi Malaysia juga dijangka bergantung kepada pertumbuhan yang dijana di peringkat domestik terutama daripada penggunaan swasta yang akan memberi manfaat kepada pasaran buruh, pertumbuhan pendapatan yang stabil dan persekitaran kredit yang positif.

Mengenai ringgit pula, menurutnya, sekalipun terdapat kebimbangan berlakunya ketidaktentuan dalam jangka pendek dalam aliran modal disebabkan perubahan sentimen pelabur.

“Namun, dengan kerajaan PH yang mungkin memulakan strategi segera untuk menjana aktiviti ekonomi dan langkah-langkah pembaharuan fiskal, kami menjangkakan ringgit akan didagangkan antara RM3.90 hingga RM3.95 berbanding dolar AS sepanjang separuh pertama tahun ini sebelum mengukuh kepada RM3.80 menjelang akhir tahun.

“Ini turut disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mantap pada tahun ini termasuk jangkaan harga minyak akan lebih tinggi dan penyelarasan dasar monetari pada separuh kedua 2018,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×