BEIJING 20 Mei – Washington dan Beijing bersetuju menghentikan perang perdagangan antara mereka apabila kedua-dua negara memutuskan untuk tidak mengenakan tarif ke atas satu sama lain, lapor media China.
Pengumuman itu dibuat selepas rundingan peringkat tinggi di Amerika Syarikat (AS) ekoran ketegangan yang tercetus sejak beberapa bulan lalu.
Timbalan Perdana Menteri China, Liu He yang mengetuai rundingan di Washington berkata, kedua-dua belah pihak telah mencapai kesepakatan, tidak akan meneruskan perang perdagangan dan akan berhenti mengenakan tarif ke atas satu sama lain.
“Perjanjian ini adalah satu keperluan tetapi pada masa yang sama, kita mesti sedar bahawa usaha ini tidak dapat dilakukan dalam sehari.
“Usaha menyelesaikan masalah struktur hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara akan mengambil masa,” katanya.
Pasaran dunia khuatir dengan perang perdagangan berbahaya yang bakal tercetus apabila Presiden Donald Trump menyuarakan tentang isu hubungan komersial tidak adil antara dua gergasi ekonomi itu.
Trump telah berulang kali menyebut tentang defisit perdagangan negaranya dengan China, menggambarkannya sebagai ancaman berbahaya kepada keselamatan AS dan mengancam untuk mengenakan tarif bernilai berbilion dolar ke atas barangan dari China.
Levi sebanyak AS$50 bilion (RM198 bilion) ke atas barangan import China sebelum ini ditetapkan untuk berkuat kuasa seawal minggu depan.
Perbincangan di Washington antara delegasi yang diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan He mengadakan perbincangan dengan Trump Khamis lalu.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan di Washington berkata, Beijing akan meningkatkan jumlah pembelian barangan buatan AS tetapi tidak menjelaskan butiran lanjut.
“Terdapat satu konsensus untuk mengambil langkah-langkah yang berkesan bagi mengurangkan secara ketara defisit perdagangan AS terhadap barangan dengan China.
“Untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat dan keperluan untuk pembangunan ekonomi yang berkualiti tinggi, China akan meningkatkan pembelian barangan dan perkhidmatan AS secara signifikan,” jelas kenyataan itu.– AFP











