KUALA LUMPUR 17 Mei – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bukan satu-satunya ahli politik yang pernah diberikan pengiktirafan sedemikian di negara ini.
Pengamal undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata, sebelum ini Lembaga Pengampunan pernah mengampunkan kesalahan berat yang dilakukan oleh bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim dan bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris.
Jelasnya, mengikut Peraturan 113, Peraturan Penjara 1953 (Pindaan 2000), seseorang yang sedang menjalani hukuman boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan.
“Pengampunan tidak semestinya diberikan kepada mereka yang mempunyai pengaruh politik sahaja tetapi juga boleh diberikan atas faktor kesihatan dan jasa yang pernah ditaburkan kepada negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pembebasan Anwar selepas mendapat perkenan Sultan Muhammad V yang mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan di Istana Negara, semalam.
Dalam pada itu, penganalisis politik dan pengamal undang-undang, Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, proses pengampunan Anwar berjalan mengikut prosedur perundangan.
“Laporan disediakan oleh Pejabat Peguam Negara, kalau di negeri di panggil Penasihat Undang-Undang Negeri. Apabila laporan dibentangkan terpulang kepada Ahli Majlis Lembaga Pengampunan atau Yang di-Pertuan Agong untuk terima atau tidak,” katanya.
Jika mengikut perundangan, katanya, Anwar layak untuk bertanding dalam pilihan raya pada masa depan kerana segala kesalahan yang tidak melayakkan beliau menjadi wakil rakyat seperti tidak boleh dikenakan hukuman penjara kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 telah terhapus. – UTUSAN ONLINE









