Antara faktor kekalahan BN, 
kemenangan bermakna PH - Utusan Malaysia

Antara faktor kekalahan BN, 
kemenangan bermakna PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang berlangsung pada Rabu, 9 Mei lalu telah menyaksikan kemenangan penuh bermakna buat Pakatan Harapan (PH).

Kejayaan PH pada PRU-14 boleh dianggap sebagai satu lagi sejarah dalam landskap politik tanah air. Apa tidaknya, buat pertama kali, Barisan Nasional (BN) yang telah menerajui negara selama 61 tahun akan menjadi parti pembangkang di Parlimen Malaysia selepas tewas mengejut kepada PH pada PRU kali ini.

Kejayaan PH itu yang dibarisi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuktikan bahawa mereka juga telah berjaya menarik hati pengundi di seluruh negara untuk menamatkan penguasaan BN dalam politik Malaysia selama ini.

Dalam PRU-14 kali ini, PH yang bertanding atas logo PKR berjaya memenangi sebanyak 113 daripada 222 kerusi Parlimen berbanding BN yang hanya mampu memiliki 79 kerusi Parlimen.

Persoalannya, mengapa berlakunya tsunami rakyat sehingga menyaksikan BN tumbang dan pada masa sama, apakah kelebihan PH yang membolehkan mereka menamatkan penguasaan BN?

Kebanyakan pemerhati dan penganalisis politik negara berpendapat, faktor kekalahan BN pada PRU-14 ialah penangan kira-kira 1.7 juta pengundi yang pertama kali keluar mengundi. Boleh dikatakan kebanyakan daripada mereka merupakan pengguna media sosial yang tegar.

Tambahan pula, kira-kira 40 peratus pengundi berumur 40 tahun ke bawah yang menjadi penentu penting dalam PRU kali ini. Percaya atau tidak, mungkin tsunami besar hadir daripada mereka ini yang telah mendominasi saluran 4, 5 dan 6 di pusat-pusat mengundi di seluruh negara.

Majoriti mereka ini adalah golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) yang berdepan cabaran hidup di bandar. Mereka inilah yang terpaksa mengharungi keperitan hidup angkara Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang selain harga petrol yang tidak menentu.

Beberapa isu berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal RM2.6 bilion serta polemik yang membelenggu beberapa agensi kerajaan, antaranya Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), menjadi antara faktor majoriti rakyat Malaysia bertindak ‘membenam’ BN.

Kredibiliti

Imej Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemerintah yang gagal juga ternyata tidak dapat dibendung lagi walaupun beliau memperkenalkan pelbagai bantuan dan insentif kepada setiap lapisan masyarakat sejak menerajui negara selama dua penggal.

Barisan kabinet yang diberi tanggungjawab untuk mengetuai kementerian dilihat terlalu ‘buruk’ di mata rakyat. Penasihat-penasihat politik, ekonomi dan sosial Najib juga gagal untuk memberikan nasihat yang sebenar yang akhirnya kesilapan demi kesilapan dilakukan.

Setiap kesilapan itu telah bertukar menjadi kesalahan besar sehingga menyebabkan rakyat semakin marah dan meluat dengan sistem pentadbiran kerajaan BN di bawah pimpinan Najib.

Dalam situasi tersebut, PH bijak mengambil kesempatan dengan menjadikan kesilapan dan kegagalan BN itu untuk menampilkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ikon pilihan kepada rakyat.

Dengan status Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri yang berjaya mentadbir Malaysia dalam tempoh 22 tahun, PH berjaya menarik hati pengundi untuk memberikan laluan kepada mereka membentuk kerajaan.

Dari segi kejayaan jentera parti, PH juga dilihat bijak menjalankan gerakan ‘gerila’ bagi menanam keyakinan pengundi terutamanya golongan muda. PH berjaya memaksimumkan kemajuan teknologi masa kini dengan mengeksploitasi sepenuhnya media sosial.

PH menyedari bahawa golongan tua iaitu saluran 1 dan 2 tidak terkecuali menggunakan telefon pintar walaupun mereka ini berada dalam usia emas. Harus diingat bahawa PRU-14 adalah ‘Perang WhatsApp’ yang berjaya diguna pakai oleh PH berbanding BN.

PH lebih menumpukan gerakan ‘gerila’ ini berbanding gerakan fizikal. Kita dapat lihat pondok-pondok panas PH pada hari mengundi ‘kosong dan kurang orang’. Ia ternyata berbeza dengan apa yang dapat disaksikan di pondok-pondok panas BN mahupun Pas. Akhirnya PH berjaya memenangi hati pengundi pada hari membuang undi secara senyap (silent voters).

Aspek calon turut memberikan kelebihan kepada PH yang mana mereka parti yang berani menampilkan calon-calon muda, berkarisma dan berpendidikan tinggi berbanding deretan calon BN.

Selain itu, PH tidak tertakluk dan terikat dengan sistem hierarki masing-masing untuk menetapkan calon. Sebaliknya, barisan calon yang ditetapkan oleh BN di seluruh negara berlegar-legar kepada ketua bahagian, ketua sayap-sayap parti yang sememangnya pengundi tidak suka.

Dipalit

Malah, hampir 40 peratus calon yang diutarakan BN adalah calon yang pernah ditolak pada pilihan raya sebelum ini selain dipalit dengan pelbagai isu yang tidak menyenangkan rakyat.

Senario itu menimbulkan perspektif negatif kepada ahli UMNO dan BN sendiri. Ia menyebabkan gerakan menjatuhkan sesama sendiri berlaku dan pengundi di atas pagar memberikan undi kepada PH.

PH pantas menghidu peluang itu dengan meletakkan status putih dan ‘boleh menang’ bagi kawasan yang ditetapkan oleh BN. Hakikatnya, PH menyasarkan 136 kawasan parlimen yang dikategorikan putih dan ‘boleh menang’.

Justeru, untuk BN kembali memerintah, mereka memerlukan perubahan secara total dalam UMNO dan parti itu sendiri. Mereka harus memberikan keutamaan kepada pembentukan ikon yang baharu, muda, bersih dan berpendidikan tinggi.

Pada masa sama, jawatan bagi kerusi ketua bahagian dan ketua sayap-sayap parti perlu meletakkan muka baharu dan mesra rakyat sesuai dengan perubahan zaman masyarakat.

Bagi PH pula, mereka seharusnya berani dan terus melahirkan ikon baharu, muda, berkarisma, berpendidikan tinggi, berintegriti tinggi serta mesra rakyat. Malah, tidak keterlaluan juga jika dikatakan mereka mampu mengekalkan pemerintahan dalam tempoh yang lebih lama jika keempat-empat parti gabungan dalam PH dapat mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan antara mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×