Anjur lebih banyak forum, tingkatkan kefahaman antara kaum - Utusan Malaysia

Anjur lebih banyak forum, tingkatkan kefahaman antara kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 31 Mei – Masyarakat berbilang bangsa di negara ini sewajarnya diberi pendedahan tentang budaya masing-masing supaya kesemua rakyat dalam negara ini boleh memahami antara satu sama lain, meningkatkan kepercayaan dan mengurangkan rasa ketakutan.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, forum-forum khas melibatkan masyarakat bukan Islam untuk memahami agama itu seperti yang dianjurkan One Centre Malaysia, Perlis adalah contoh yang baik boleh dilakukan.

Kata beliau yang pernah membuat tesis berhubung kajian politik di negara ini, menerusi forum-forum tersebut hubungan sesama masyarakat berbilang kaum akan terbina sekali gus meningkatkan suasana harmoni.

“Kita juga mahu pemimpin politik menghentikan cara berpolitik perkauman. Sebagai ahli politik kaum Cina, saya adalah pemimpin untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya untuk kaum saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan forum khas bertajuk ‘Puasa: Agama vs Budaya’ bersama Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Chin Tong yang dianjurkan oleh One Centre Malaysia, Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini semalam.

Chin Tong adalah Pengerusi DAP Johor. Forum itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia, Perlis, Muhd. Zamri Vinoth Abdullah.

Turut diadakan ialah program Ziarah dan Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Bukan Islam yang dihadiri lebih 100 orang yang bukan sahaja membolehkan mereka melihat orang Islam bersolat dan melihat kawasan masjid tetapi juga berbuka puasa bersama-sama.

Dalam forum tersebut selepas solat Asar sehingga hampir masuk waktu berbuka puasa itu, pelbagai soalan dikemukakan masyarakat bukan Islam tentang agama itu seperti ibadah berpuasa dan bersolat.

Dalam pada itu, Chin Tong mengingatkan bahawa kerajaan akan berhadapan dengan pelbagai lagi tuntutan tidak masuk akal dan bersifat perkauman seperti isu pemberian tanah rancangan Felda serta peluang pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada kaum India baru-baru ini.

Katanya, tuntutan seperti itu berniat sengaja untuk melihat dan mencetuskan rasa marah rakyat dan perpecahan serta ketidakpercayaan rakyat kepada kerajaan baharu yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

Kata beliau, sebagai seorang rakyat dan pemimpin, seharusnya setiap tuntutan yang dibuat tidak bersifat kepentingan kaum tertentu tetapi sebaliknya mestilah mewakili rakyat secara keseluruhannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN