KETUA Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar menaruh harapan yang tinggi kepada skuad Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bawah 14 dan 15 tahun (B-14 dan B-15) untuk menjulang nama negara di Eropah bagi mengharungi beberapa kejohanan dan perlawanan persahabatan.
Kedua-dua pasukan berlepas ke Eropah Selasa lalu atas jemputan penganjur kejohanan bagi menyertai pertandingan hari ini sehingga esok di Dortmund bagi kategori B-14 yang turut disertai oleh beberapa akademi kelab ternama Eropah seperti Borussia Dortmund, Wigan Athletic dan FC Copenhagen.
Kejohanan B-15 pula akan berlangsung esok dan Isnin di Hollage di mana pertandingan tersebut pernah disertai pemain-pemain ternama seperti Zlatan Ibrahimovic, Manuel Neuer, Marco Reus dan Ousmane Dembele ketika mereka masih beraksi bersama akademi pasukan masing-masing.
Safirul memberitahu, beliau mahu para pemain memanfaatkan segala tunjuk ajar jurulatih untuk mengulangi kejayaan yang dipamerkan oleh skuad AMD B-13 bulan lalu yang telah merangkul tempat ketiga dan keempat dalam dua kejohanan di Perancis.
“Saya mahu mereka beraksi dengan sebaik mungkin agar segala persediaan membuahkan hasil serta membuka mata kelab Eropah mengenai keupayaan pemain kita.
“Pemain perlu yakin dengan kebolehan masing-masing untuk beraksi di peringkat tertinggi kerana ia adalah pendedahan yang amat baik dalam karier bola sepak mereka untuk jangka panjang.
“Pada masa sama kami juga berharap selepas selesai kejohanan tersebut beberapa kelab Eropah akan memberi tawaran kepada pemain tempatan untuk menjalani latihan bersama akademi mereka.
“Peluang ini perlu digunakan dengan sebaik mungkin kerana ia adalah platform terbaik kepada pemain muda untuk menambat hati kelab terkemuka Eropah bagi mengikat kontrak bersama mereka setelah melepasi usia 18 tahun,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ia adalah kali kedua skuad AMD beraksi di Jerman apabila tahun lalu mereka berjaya merangkul tempat keempat terbaik dalam kejohanan yang sama.
Mereka juga akan menghadapi satu lagi pertandingan pada Jun depan, skuad AMD juga akan ke Belanda untuk berdepan beberapa perlawanan persahabatan.
Sementara itu, NFDP juga tidak mengalami sebarang masalah serta kekurangan dana meskipun berlaku perubahan tampuk kepimpinan kerajaan susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.
“Perjalanan kami untuk mencapai segala objektif NFDP masih berjalan seperti biasa kerana ia adalah salah satu program pembangunan akar umbi.
“Berkenaan dana, ia sama sekali tidak terganggu kerana kami diberikan peruntukan untuk tempoh setahun dan keadaan ini tidak menjejaskan segala urusan NFDP.
“Saya juga ada berpesan kepada barisan jurulatih supaya menjalankan tugas seperti biasa serta supaya fokus mereka kepada pelatih tidak terganggu,” ujarnya.










