AMD B-13 julang nama negara di Eropah - Utusan Malaysia

AMD B-13 julang nama negara di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bawah 13 tahun (B-13) sekali lagi menampilkan aksi positif selepas berjaya mengungguli tempat ketiga pada kejohanan Piala Ba­lisier edisi kelapan di Perancis akhir bulan lalu sekali gus melakar dua kejayaan dalam tempoh tiga minggu di peringkat Eropah.

AMD B-13 menang 1-0 bagi penentuan tempat ketiga dan keempat hasil jaringan Muhammad Danish Haikal Abdullah ketika berdepan Schiltighiem di Stadium Nelson Mandela, Sarcelles, manakala juara diraih oleh Akademi AS Nancy yang beraksi untuk Ligue 2 Perancis.

Terdahulu AMD B-13 meraih tempat keempat setelah berjaya mengatasi beberapa akademi kelab ternama Perancis seperti Paris Saint-German (PSG), FC Metz dan FC Nantes pada kejohanan Piala Joinville sebelum mara ke separuh akhir menentang AS Nancy, namun tewas dengan penentuan sepakan penalti.

AMD B-13 satu-satunya kelab dijemput untuk menyertai dua kejohanan tersebut yang disertai lebih 20 akademi kelab Liga Pe­rancis yang berlangsung pada 14, 15 dan 29 April lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar memberitahu, semua pemain telah membuktikan mereka mampu membawa nama Malaysia serta memberikan saingan kepada pasukan lain untuk mengukir nama di peringkat Eropah.

“Walaupun AMD B-13 tidak berjaya menjulang trofi, namun ia sudah memadai apabila mereka layak menduduki tempat ketiga dan keempat kerana kejohanan tersebut turut disertai akademi pasukan terkemuka di Perancis.

“Kita dapat melihat pemain mempamerkan peningkatan pada setiap perlawanan dihadapi dan meraih tempat keempat pada kejohanan pertama dan berjaya naik ke kedudukan ketiga pada pertandingan kedua yang turut disertai hampir keseluruhan pasukan yang sama.

“Prestasi pasukan boleh dilihat dari segi keputusannya, manakala prestasi pemain pula menyaksikan Rohisham Haiqal mendapat Anugerah Pemain Terbaik dan penjaga gol disandang oleh Hazriq Haqqim bagi kejohanan pertama.

“Kejayaan ini membuktikan pasukan muda negara mampu bersaing pada peringkat Eropah dan pendedahan ini amat pen­ting kepada mereka bagi mening­katkan keyakinan diri apabila beraksi di peringkat tertinggi,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pemain AMD B-13 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan ini bersama beberapa individu yang terpilih untuk berlatih bersama akademi PSG selepas tamat kedua-dua kejohanan terbabit.

Pada masa sama, empat atau lima pemain AMD B-13 akan menjalani latihan bersama akademi PSG akhir bulan ini atas permintaan kelab tersebut yang berminat dengan aksi mereka sepanjang tiga minggu berada di Perancis.

“Sebelum ini kita turut mendapat tawaran daripada Manchester City dan Manchester United selepas kelab tersebut ingin mendapatkan enam pemain cilik negara bagi menjalani latihan bersama mereka, namun kami memilih PSG atas beberapa faktor.

“Perancangan sebelum ini adalah pemain akan terus tinggal di Perancis bermula 1 Mei, namun mereka perlu pulang ke Malaysia terlebih dahulu untuk menyelesaikan sesi persekolahan yang tertangguh sepanjang berada di sana.

“Setelah berbincang, kami memutuskan semua pemain yang akan menjalani latihan bersama PSG akan dihantar tetapi mereka perlu menyelesaikan perkara yang lebih penting dahulu di sini.

“Kita pasti akan menghantar pemain tersebut kerana ia adalah peluang keemasan yang diperoleh AMD B-13 bagi menggilap bakat-bakat muda untuk me­nerajui bola sepak tanah air satu hari nanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×