Ambil masa tiga hari kira RM114 juta - Utusan Malaysia

Ambil masa tiga hari kira RM114 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mei – rampasan wang tunai sebanyak RM114 juta yang diumumkan Pe­ngarah Ja­batan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini menamatkan spekulasi mengenai jumlah sebenar wang yang dirampas dalam serbuan di Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan di sini pada Jumaat lalu.

Kesemua wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing itu dirampas bagi membantu siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam serbuan itu turut ditemukan ialah sejumlah barangan kemas dan jam tangan berjenama dalam 37 beg yang belum ditaksirkan nilainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Amar Singh, pihak­nya mengambil masa tiga hari dan terpaksa menggunakan 11 mesin bagi mengira 26 jenis mata wang dengan bantuan 22 pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Islam.

“Kesemua wang rampasan itu kemudiannya dibawa ke BNM, manakala untuk barangan kemas pula ditempatkan di Bukit Aman sementara menunggu panel penilai barangan kemas bagi menge­tahui nilainya.

“Bagi beg tangan berjenama pula saya sahkan kesemuanya dari Paris. Sementara kediaman yang diserbu sehingga menemukan ke­semua barangan tersebut itu adalah milik seorang Tan Sri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia Jumaat lalu melaporkan, polis merampas 72 beg serta 284 kotak berisi tas tangan berjenama mewah antaranya Hermes, Birkin dan Louis Vuitton dalam pemeriksaan di Pavilion Re­sidences sebagai sebahagian daripada siasatan dalam skandal 1MDB.

Dalam pada itu Amar Singh menjelaskan, pihaknya telah me­lakukan 12 serbuan termasuk di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta dan tiga unit kondominium di Pavilion Residences.

Ujar beliau, pihaknya turut me­rampas RM500,000 dalam serbuan di Jalan Langgak Duta, selain beberapa beg tangan berjenama.

“Saya ingin menegaskan bahawa kesemua gambar tular di media sosial dan akhbar tempatan berhubung serbuan yang dilakukan pihak polis adalah palsu dan tidak benar.

“Untuk makluman, hanya pasukan D6 (Bahagian Bantuan Teknik) Jabatan Siasatan Jenayah sahaja yang menjadi jurugambar rasmi sepanjang operasi dijalankan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini