Alliance Bank catat pertumbuhan hasil tertinggi - Utusan Malaysia

Alliance Bank catat pertumbuhan hasil tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak tujuh peratus, yang tertinggi dalam tempoh lima tahun kepada RM1.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, prestasi tersebut dipacu oleh margin faedah bersih yang lebih tinggi susulan fokus syarikat terhadap pertumbuhan dalam pulangan penyesuaian risiko (RAR) pinjaman serta pendapatan bukan faedah.

Jelas beliau, pinjaman RAR mewakili 36 peratus daripada portfolio berbanding 31 peratus pada tahun lalu.

“Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial, pinjaman pengguna tidak bercagar dan Alliance One Account (AOA) menyumbang kepada pertumbuhan pinjaman RAR sebanyak 19.3 peratus dari tahun ke tahun.

“PKS kekal antara perniagaan teras kami dan inisiatif transformasi di bawah pengembangan PKS sangat menggalakkan. Pada suku keempat tahun kewangan 2018 pertumbuhan pinjaman untuk perbankan PKS naik 2.9 peratus dan menyumbang kepada kadar tahunan sebanyak 11.6 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kornreich, pendapatan bukan faedah meningkat 11.9 peratus tahu ke tahun kesan daripada penambahbaikan pada yuran perkhidmatan perbankan, pengurusan kekayaan dan perdagangan serta keuntungan realisasi daripada pelaburan sedia untuk dijual.

Menurutnya, perbelanjaan operasi meningkat 14.8 peratus tahun ke tahun susulan pelaburan dalam inisiatif transformasi.

Katanya lagi, perbelanjaan transformasi berjumlah RM74.2 juta yang mana RM36.4 juta adalah untuk kos penstrukturan.

“Kesan nisbah kos kepada pendapatan meningkat kepada 50.5 peratus berbanding 47.1 peratus pada tahun lalu. Kedudukan pembiayaan bank pula kekal stabil dan menyokong kepada pertumbuhan perniagaan.

“Pembiayaan berasaskan pelanggan berkembang kepada RM43.6 bilion. Bank akan terus mengekalkan keberkesanan pembiayaan campuran menerusi pembaharuan terpilih deposit tetap korporat dan fokus kepada pertumbuhan deposit akaun semasa dan simpanan SavePlus serta Alliance@Work,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN