KUALA LUMPUR 26 Mei – Walaupun berlaku penurunan jualan akhbar tempatan sejak beberapa tahun ini ekoran ledakan teknologi maklumat, akhbar terbitan Kumpulan Utusan terus konsisten dan kekal mencatatkan peningkatan edaran, sekali gus mengungguli carta sebagai akhbar berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia menerusi Mingguan Malaysia.
Menurut firma pengauditan, Audit Bureau Circulation (ABC) bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lalu, edaran akhbar Mingguan Malaysia adalah tertinggi iaitu sebanyak 245,911 naskhah.
Kedua tertinggi ialah Kosmo! Ahad dengan edaran sebanyak 166,774 naskhah, jauh meninggalkan akhbar pesaing, Metro Ahad (120,979 naskhah) dan BH Ahad (62,927 naskhah).
Edaran bagi akhbar harian Utusan Malaysia pula menjadi antara tertinggi dalam kalangan akhbar berbahasa Melayu di negara ini iaitu sebanyak 112,050 naskhah, jauh meninggalkan akhbar pesaingnya, Berita Harian dengan hanya 69,985 naskhah.
Satu lagi produk Kumpulan Utusan, Kosmo! pula kekal menjadi akhbar berbahasa Melayu harian nombor satu dengan jualan sebanyak 155,996 naskhah meninggalkan akhbar pesaingnya, Harian Metro (112,705 naskhah).
Berdasarkan rekod ABC, akhbar terbitan Kumpulan Utusan kekal menunjukkan prestasi yang baik dari segi edaran sepanjang tahun lalu.
Malah, Selangor kekal menjadi negeri paling banyak edaran akhbar terbitan Kumpulan Utusan setakat ini diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut ABC lagi, bagi kategori akhbar berbahasa Inggeris, akhbar The Sun kekal menjadi akhbar yang mencatatkan edaran paling tinggi dengan 307,785 naskhah, manakala The Star (201,943 naskhah) jauh meninggalkan pesaingnya, New Straits Times (36,278 naskhah).
Akhbar berbahasa Cina pula, Sin Chew (edisi siang) kekal berada di nombor satu dengan jualan sebanyak 294,476 naskhah, jauh meninggalkan pesaingnya, Guang Ming (edisi siang) (53,140 naskhah).
Aliran kejatuhan edaran akhbar tempatan juga seiring senario peralihan minat pembaca beralih kepada platform digital yang dikatakan lebih pantas dan boleh diakses di mana-mana pada bila-bila masa.
Selain edisi cetak, ABC turut mengesahkan Utusan Malaysia kekal akhbar elektronik atau e-paper terlaris di Malaysia dan berbahasa Melayu nombor satu di dunia dengan rekod luar biasa.
Data dikeluarkan itu menunjukkan Utusan Malaysia versi digital mencatatkan 207,745 langganan untuk tempoh dari Julai sehingga Disember tahun lalu.
Turut mencipta rekod ialah akhbar digital Mingguan Malaysia yang mencatatkan 205,498 langganan untuk separuh kedua tahun lalu, melonjak berbanding hanya sebanyak 139,196 langganan dari Januari sehingga Jun tahun lepas.
Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia versi digital amat digemari pembaca seluruh dunia kerana boleh diakses seawal pukul 5 pagi waktu Malaysia serta mengandungi semua edisi wilayah dengan kos harga langganan berpatutan.










