KUALA LUMPUR 16 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz berkata, rayuan pengampunan itu dibentang dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51 hari ini.
“Perkara ini selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang mana baginda dinasihatkan lembaga berkenaan.
“Pembebasan tersebut berkuat kuasa mulai dari tarikh persidangan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51 hari ini,” katanya dalam kenyataan daripada Istana Negara di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










