ADLY PACU DIMENSI MELAKA BERWIBAWA - Utusan Malaysia

ADLY PACU DIMENSI MELAKA BERWIBAWA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: TANGGAL 9 Mei 2018 membawa perubahan kepada landskap politik di Malaysia termasuk negeri Melaka apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguasai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU – 14) dan sekali gus menghilangkan dominasi parti Barisan Nasional (BN).

Negeri Melaka merupakan antara tujuh negeri yang kini di bawah pentadbiran kerajaan PH selain Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, dan Sabah. Gabungan PH Melaka berjaya memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN ) berbanding BN yang hanya memperoleh 13 kerusi.
Pengerusi PH Melaka, ADLY ZAHARI kemudian diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti untuk menjadi Ketua Menteri Melaka yang ke-11 dan memperkenalkan slogan baharu kerajaan negeri iaitu Melaka Berwibawa. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR dan jurugambar AZLI AHAD, Adly menceritakan persediaan kerajaan PH Melaka untuk merencanakan pembangunan pimpinan baharu di negeri yang bersejarah ini bagi memastikan Melaka terus mendapat perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia malah pelancong dari seluruh dunia.

 

Memuatkan artikel berkaitan…

 

MINGGUAN: Apakah Yang Amat Berhormat (YAB) pernah terfikir PH mampu mencipta sejarah pada PRU-14 menguasai beberapa negeri dan Kerajaan Pusat serta YAB dilantik memimpin negeri Melaka?

ADLY ZAHARI: Kalau kita melihat sistem politik demokrasi terkini, ia banyak berasaskan kepada kajian mengenai kecenderungan rakyat dan situasi ini berlaku di mana-mana pilihan raya umum (PRU) seperti di Amerika Syarikat, negara-negara Barat malah di Indonesia. Di Melaka, PH menjangkakan kecenderungan rakyat berpihak kepada kita sejak PRU-13 namun ia belum dapat mengatasi BN ketika itu tetapi hasil kajian dalam PRU-14 seperti Invoke, Ilham Centre, e-day dan Merdeka Centre mendapati Melaka antara negeri yang bakal berlaku perubahan.

PH mulanya menjangkakan kita akan mencapai 18 kerusi DUN walaupun sasaran kita 20 kerusi namun apabila keputusan penuh menyaksikan 15 kerusi DUN diberikan kepada kita, itu adalah angka diberikan oleh rakyat kepada kita.

Pelantikan saya sebagai Ketua Menteri pula perlu dilihat dari sudut bagaimana kami iaitu empat buah parti berbeza (PKR, DAP, PPBM dan PAN) mampu duduk semeja, bermuafakat dan menyelesaikan segala permasalahan yang timbul dengan bermusyawarah. Saya selaku Pengerusi PH Melaka mengamalkan demokratik iaitu setiap parti akan mengemukakan calon mereka, berhak memberikan pandangan dan kita bincang mana atau siapa yang terbaik untuk diketengahkan dan ini semua kita lakukan dalam PH.

Boleh ceritakan, apa keistimewaan YAB sehingga dipilih dalam kalangan pemimpin PH menjawat jawatan tertinggi di negeri ini?

ADLY ZAHARI: Jika dilihat pada pengalaman politik, tidak dinafikan saya antara yang senior kerana saya mula menyertai politik ketika masih belajar di universiti iaitu menyertai Pas. Penglibatan saya dalam Pas adalah sepenuh masa di mana saya menjadi pegawai tadbir Pas Melaka selepas tamat pengajian.

Pengalaman saya dalam politik bermula dengan usaha menubuhkan cawangan Pas, kemudian sayap parti sehingga ke peringkat nasional di mana saya pernah menjadi Exco dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan mungkin pengalaman ini diambil kira pucuk pimpinan PH selain peranan saya membina muafakat dalam pakatan sehingga mampu diurus dengan baik.

Melaka Berwibawa adalah slogan baharu kerajaan negeri Pakatan Harapan Melaka dan YAB menggunakan pendekatan mesra rakyat apabila memperkenalkan Hari Bersama Rakyat setiap Jumaat dan membuka lawatan ke kediaman rasmi ketua menteri di Seri Bendahara selama sebulan. Bagaimana YAB mendapat idea untuk semua itu?

ADLY ZAHARI: Konsep Melaka Berwibawa dibincangkan dalam Pakatan Harapan kerana mengikut sejarah pembentukan negara, negeri Melaka suatu ketika dahulu harum namanya malah jika dibandingkan dalam kalangan tiga Negeri-Negeri Selat, Melaka dilihat lebih berwibawa daripada Pulau Pinang dan Singapura khusus dalam bidang ekonomi, tamadun dan kemasyarakatan.

Tetapi kenapa Melaka yang sepatutnya berwibawa ini dilihat semakin terkebelakang apabila kadar hutangnya semakin meningkat, kredibiliti dipertikaikan, indeks akauntabiliti berada pada kedudukan terbawah dan untuk itu PH mahu memperkenalkan konsep Melaka Berwibawa ini untuk mengembalikan semula Melaka sebagai kerajaan negeri yang berwibawa dan bermaruah.

Untuk itu kita mengetengahkan inisiatif Pintar, Hijau dan Bersih (PHB) bagi menghubungkan rakyat dan kerajaan negeri dengan lebih dekat dan sebab itu saya adakan hari bertemu rakyat setiap Jumaat, bukannya bermaksud kita buka meja untuk berjumpa rakyat tetapi saya mahu lebih daripada itu iaitu melihat apa yang rakyat mahu dan insya-Allah dalam tempoh setahun kita akan cuba wujudkan aplikasi maya untuk memudahkan rakyat berhubung dengan kerajaan.

Barisan Exco kerajaan negeri menonjolkan penglibatan kesemua wakil dalam PH. Apa harapan YAB kepada gandingan tersebut?

ADLY ZAHARI: Kebanyakan Exco yang dilantik merupakan kali pertama menjadi wakil rakyat termasuk saya. Kecuali ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew pernah menjadi wakil rakyat namun saya percaya gabungan antara pengalaman Kok Kiew dan Exco-exco baharu lain akan berjaya. Meskipun baharu, mereka mempunyai latar belakang profesional dan pengalaman aktivis yang menarik seperti ADUN Telok Mas, Noor Effendi Ahmad dan ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Saya percaya daya inovatif yang ada pada mereka akan menghasilkan buah fikiran yang bagus maka ia akan dapat diimplimentasikan sebagai gabungan yang bertenaga untuk membantu memacu negeri dan negara.

Apa harapan YAB kepada bukan sahaja pengundi PH tetapi seluruh penduduk Melaka yang kini ditadbir kerajaan yang berbeza, kali pertama sejak merdeka?

ADLY ZAHARI: Harapan kepada rakyat adalah memperkukuhkan hubungan dengan rakyat.Sebenarnya masalah dalam sistem penyampaian kita harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan kerajaan perlu menyediakan ruang untuk rakyat membuat aduan. Apa yang penting adalah kerajaan perlu bertindak cepat mengatasi masalah rakyat dan rakyat mesti tahu kerajaan sedang bertindak mengatasi masalah mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini