KUALA TERENGGANU 27 Mei – Pakatan Harapan Terengganu hari ini mengemuka aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat projek Taman Ilmu yang kemungkinan berlaku unsur penyalahgunaan wang kerajaan setelah terus berdepan dengan kemelut.
![]() |
|
Raja Kamarul Bahrin Shah
|
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, surat rasmi telah diserahkan pagi tadi ketika kunjungan beliau ke ibu pejabat SPRM Terengganu, di Wisma Persekutuan, di sini.
“Sehingga 2018, sejak 14 tahun projek ini bermula, hanya 3 peratus boleh digunakan manakala sebahagian besar yang asalnya sudah siap dibina dalam keadaan terbiar dan dirosakkan selain berlaku kecurian barangan di situ,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Taman Ilmu di Tembila Besut yang dimulakan pada tahun 2004 di bawah Projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di kawasan seluas 280 hektar dibangunkan dengan kos dianggarkan kira-kira RM320 juta.
Ia terbengkalai setelah beberapa tahun dibina dan difahamkan diteruskan pada 2012 dengan kelengkapan asrama, kompleks pusat pelajar, dewan konvokesyen dan lain-lain yang kemudiannya berdepan dengan kerosakan yang teruk.
Beliau turut menarik perhatian terdapat keraguan berhubung kes saman oleh sebuah syarikat pada Oktober 2016 yang memaksa kerajaan negeri membayar sebanyak RM45 juta kepada 17 kontraktor yang disenaraikan berhubung dengan kerja-kerja baik pulih.
“Mengapa kerajaan negeri bersetuju membayar tanpa sebarang pangakuan liabiliti oleh mana-mana pihak. Jika bayaran telah dipersetujui dan dibuat, kenapa kerja-kerja di tapak sehingga 15 Febuari lalu (hasil tinjauan) belum disiapkan. Apa skop bidang kerja sebenarnya?
“Dan mengapa pula enam daripada 17 kontraktor terbabit telah menyaman kerajaan negeri Febuari lalu bagi menuntut sebanyak RM27.8 juta kerana mendakwa kerajaan negeri gagal menyelesaikan bayaran.
“Kita minta pihak SPRM siasat projek ini kerana dikhuatiri mengandungi unsur-unsur yang mencurigakan seperti penyalahgunaan wang,” ujarnya .
Dalam pada itu, Raja Bahrin berharap agar kerajaan negeri yang baharu dapat mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan projek yang dirancang sebagai hab pendidikan tinggi bagi negeri ini dapat menjadi kenyataan.
“Kita harap kerajaan negeri dapat mengambil langkah sepatutnya dalam memastikan projek ini dapat dinikmati oleh sebahagian besar anak-anak kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE












