LUMUT – Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd. Ajis dilantik sebagai Panglima Armada Barat menggantikan Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohammad Roslan Mohd. Ramli berkuat kuasa hari ini.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Markas Armada Barat, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini disaksikan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruldin.
Mohammad Roslan yang berkhidmat selama 41 tahun bersama TLDM akan menamatkan perkhidmatannya pada Januari 2019.
Ahmad Kamarulzaman dalam ucapannya berharap Armada Barat terus gagah menongkah arus cabaran dengan meneruskan kecemerlangan markas tersebut.
“Saya harap usaha yang dirintis Panglima Armada Barat akan dikukuhkan dan kekal cemerlang.
“Sikap cakna juga perlu diteruskan agar tugas dapat dilaksana dengan sebaiknya serta mengelakkan diri daripada terlibat dengan masalah disiplin,” katanya.
Tambah beliau lagi, dalam pasca Pilihan Raya Umum ke-14 ini, anggota perlu merapatkan barisan kerana mereka akan terus beri sokongan padu kepada kerajaan Persekutuan yang baharu.
“Ini sangat penting dan segala usaha sebelum ini akan lebih dipergiatkan,” katanya. – K! ONLINE











