PUTRAJAYA 24 Mei – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataanya berkata, ucapan tahniah itu di atas pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.
“Dr. Mahathir menerima panggilan telefon dari Abe pada pukul 11.45 pagi. Perdana Menteri Jepun itu mengucapkan tahniah atas pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan sebagai Perdana Menteri.
“Dalam perbualan telefon itu, kedua-dua Perdana Menteri bercakap mengenai pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua Perdana Menteri itu turut bercakap mengenai lawatan Dr. Mahathir ke Jepun pada bulan hadapan untuk menghadiri Persidangan Tahunan Nikkei.
Dalam pada itu katanya, Dr. Mahathir turut menyatakan penghargaan di atas bantuan Jepun terhadap pembangunan di Malaysia selain berharap kedua-dua negara akan terus bekerjasama. – UTUSAN MALAYSIA










