Abang Johari melawat rumah mendiang Tajem - Utusan Malaysia

Abang Johari melawat rumah mendiang Tajem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 28 Mei – Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Daniel Tajem, 82, merupakan seorang pemimpin yang meletakkan rakyat di hati dalam menjaga kepentingan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, mendiang merupakan rakan dan orang yang berkongsi pengetahuan dengannya.

“Banyak yang saya belajar dengan mendiang.

“Saya berpeluang berkhidmat di bawah mendiang sebagai Menteri Muda Pertanian dan Pembangunan Komuniti dengan membantu menubuhkan persatuan nelayan dan peladang di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat rumah keluarga mendiang Tajem di Tabuan Jaya, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar.

Abang Johari tiba pada pukul 9.35 pagi disambut balu mendiang, Datin Seri Ivy Tajem bersama keluarga dan meluangkan masa kira-kira setengah jam di situ.

Semalam, isteri mendiang menemukannya sudah meninggal dunia di atas katil kira-kira pukul 7.10 pagi.

Sebelum itu, mendiang dikatakan telah mengadu sukar bernafas dan sakit belakang sejak dua tiga hari lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN