Aaliyah cipta 
sejarah 
sukan air - Utusan Malaysia

Aaliyah cipta 
sejarah 
sukan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Mei – Bintang muda ski air negara, Aaliyah Yoong mencipta sejarah baharu buat persada sukan air Malaysia apabila berjaya menduduki tempat kedua dalam satu kejohanan junior berprestij di Amerika Syarikat (AS) semalam.

AALIYAH YOONG beraksi cemerlang apabila menduduki tempat kedua dalam satu kejohanan di Amerika Syarikat, kelmarin.

Sebelum ini, belum pernah mana-mana peluncur air muda negara mampu menaiki podium dalam Masters Junior Nautique Waterski AS dalam acara trick seperti mana yang dilakukan Aaliyah di Callaway Garden, Atlanta itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini membolehkan peluncur air berusia 14 tahun itu menambah koleksi kejayaannya selepas cemerlang dengan tiga emas di Sukan SEA 2017 serta menduduki tempat kedua dalam acara lompatan bawah 17 tahun selain memecahkan rekod kebangsaan dalam pertandingan Florida Inboards Records juga di AS dua minggu lalu.

Pada aksi final semalam, Aaliyah mengumpul 6,400 mata untuk berada di belakang juara dari Kanada, Paige Rini yang unggul dengan 8,020 mata. Tempat ketiga dimenangi peluncur air AS, Kristen Baldwin (5,570 mata).

“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian di sini kerana satu disiplin yang biasanya gagal berjaya saya lepasi iaitu toes trick sama ada pada aksi pusingan pertama mahu pun di final.

“Itu telah menyumbang kepada kejayaan saya kali ini. Tetapi saya masih tidak konsisten dalam beberapa disiplin lagi. Tempat kedua hari ini adalah bonus bagi saya,” katanya yang dua kali terlepas podium di kejohanan sama pada 2016 dan 2017 lalu.

Ketua jurulatih negara yang juga bapa kepada Aaliyah iaitu Hanifah Yoong mengakui terkejut dengan persembahan anaknya yang tidak disangka-sangka itu.

“Sasaran anak saya selepas ini ialah untuk muncul juara tahun depan supaya dia dapat beraksi sebagai peluncur profesional wanita dalam dua atau tiga tahun akan datang,” kata Hanifah yang mula berkampung menjalani latihan di AS sejak hampir sebulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini