KUALA LUMPUR 31 Mei – Terpaksa berjalan sejauh 10 kilometer (km), penginapan kurang selesa, tiada pengangkutan disediakan dan makanan terhad biarpun membayar pakej haji orang kenamaan (VIP) atau Haji Furada.
Itu nasib yang dilalui sebanyak 94 jemaah haji selepas ditipu tahun lalu oleh sebuah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilantik khas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bagi mengendalikan pakej berkenaan.
Salah seorang mangsa, Sheikh Muhammad Shakir, 30, mendakwa, sebelum berangkat ke Tanah Suci, mereka dijanjikan penginapan selesa dua atau tiga orang sebilik, bas VIP, penginapan berhampiran kawasan melontar jamrah dan makanan yang mencukupi.
Namun beliau mendakwa, realitinya jauh berbeza selepas tiba di sana apabila mereka terpaksa menginap di khemah yang jauh dan kurang selesa biarpun masing-masing membayar pakej antara RM70,000 hingga RM90,000 seorang.
“Apa yang dicanangkan jauh berbeza indah khabar dari rupa apabila kami diberikan khemah biasa yang terletak jauh dari lokasi melontar, tiada pengangkutan dan makanan yang terhad dengan alasan kononnya penginapan kami dicantas Tabung Haji.
“Selain itu, hanya terdapat lima kakitangan syarikat menyelaras kami sepanjang berada di sana. Apa yang disediakan mereka jauh berbeza dengan jumlah tinggi yang dibayar bagi pakej berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung PJH lantikan Tabung Haji memperdaya jemaah pakej Haji VIP di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; aktivis PPIM, Dr. Mazlina Abu Bakar dan seorang lagi mangsa, Datuk Sofian Mohd. Salleh.
Mengulas lanjut, Sheikh Mohammad mendakwa, sebelum pulang, pengurusan syarikat berjanji untuk mengadakan perbincangan dengan kesemua jemaah bagi membincangkan mengenai pulangan wang mereka.
“Selepas sebulan, kami menuntut hak dan keadilan namun tidak mendapat maklum balas positif pihak syarikat. Tabung Haji turut mengadakan tiga kali sesi perjumpaan bersama wakil syarikat tersebut dan selepas kali ketiga baharulah mereka datang bertemu.
“Apa yang dijanjikan adalah untuk membayar semula kerugian yang kami tanggung namun sehingga kini tidak mendapat apa yang sepatutnya kecuali ditawarkan pampasan sebanyak RM300 sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Nadzim berkata, kejadian penipuan pakej haji berlaku saban tahun dan memerlukan tindakan tegas dan berkesan kerajaan dalam menanganinya.
“Kita hendak perkara ini ditangani sama ada di peringkat Tabung Haji, kementerian atau siapa sahaja yang terlibat. Kita hendak ketegasan kerajaan baharu untuk melihat perkara ini cukup serius.
“Tahun ini syarikat tersebut menawarkan pakej sama dengan harga lebih mahal sebanyak RM154,000 seorang. Jadi, kita bercadang duduk dengan Tabung Haji duduk semeja untuk selesaikan perkara ini agar tidak terjadi lagi serta memikirkan langkah melindungi jemaah haji,” katanya. – UTUSAN ONLINE









