41 maut bertempur dengan tentera Israel - Utusan Malaysia

41 maut bertempur dengan tentera Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY 14 Mei – Sekurang-kurangnya 41 maut dan 900 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di sempadan Gaza membantah pemindahan dan perasmian Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmuqaddis yang diiktiraf sebagai ibu negara Israel.

Pertempuran itu menyaksikan beribu-ribu penduduk Pa­les­tin berhimpun berhampiran kawasan sempadan, selain ada antara mereka membaling batu ke arah pasukan tentera Israel dan cuba merosakkan pagar sempadan.

Jumlah penunjuk perasaan juga dijangka bertambah hari ini untuk terus membantah pemindahan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Perasmian Kedutaan AS itu dijangka berlangsung esok pada pukul 4 petang waktu tempatan.

Sebanyak 54 penduduk Pales­tin terbunuh akibat ditembak ten­tera Israel dalam beberapa pertempuran dan tunjuk pera­sa­an sejak 30 Mac lalu.

Sehingga kini, tiada penduduk Israel cedera dalam pertempuran yang berlaku, selain pasukan tenteranya berdepan dengan kritikan susulan penggunaan peluru hidup untuk meredakan protes.

Israel sebelum ini menegaskan bahawa pasukan tenteranya hanya menggunakan senjata api dalam keadaan yang memerlukan, selain menuduh pergerakan Hamas mempengaruhi penduduk Palestin untuk mengadakan tunjuk perasaan ganas.

Dalam pada itu, Hospital Shifa memaklumkan bahawa mereka kekurangan bekalan ubat pen­ting dan terpaksa membenarkan pesakit keluar awal bagi memberi ruang kepada pesakit lain yang kritikal.

Selain itu, beberapa saksi mem­beritahu pesawat tentera Israel menjatuhkan sejumlah bahan mudah terbakar untuk membakar tayar bagi menghalang pergerakan penunjuk perasaan.

Tentera Israel juga dilaporkan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×