1970 tonjol kehebatan Brazil - Utusan Malaysia

1970 tonjol kehebatan Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJOHANAN Piala Dunia Mexico 1970 merupakan pertandingan edisi kesembilan yang pertama kalinya dilangsungkan di luar Eropah dengan 16 pasukan layak ke saingan akhir merangkumi El Salvador, Israel dan Maghribi layak buat kali pertama.

Pertandingan empat tahun sekali itu menyaksikan Brazli muncul juara dengan menundukkan juara dua kali, Itali 4-1 dalam aksi final yang berlangsung di Mexico City sekali gus menyaksikan Brazil merangkul kejuaraan ketiga dalam sejarah pertandingan.

Keputusan itu menyaksikan Brazil diberi penghormatan untuk menyimpan trofi Jules Rimet sebelum trofi baharu diperkenalkan pada 1974 dan diguna pakai sehingga ke hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pasukan Brazil ketika itu dibarisi barisan pemain terhebat dunia ketika itu termasuk Carlos Alberto, Pele, Gerson, Jairzinho, Rivellino dan Tostao dengan rekod tanpa kalah sepanjang pertandingan termasuk aksi kelayakan.

Kejohanan itu juga menyaksikan Mario Zagallo menjadi individu pertama menjulang Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih pada 1970.

Walaupun pertandingan berlangsung dalam cuaca panas, namun aksi di Mexico menampilkan corak permainan luar biasa daripada Brazil, England dan Jerman Barat yang banyak menggunakan permainan menyerang sepanjang pertandingan berlangsung.

Jumlah jaringan juga meningkat berbanding 1966 untuk kesemua pasukan namun perkara sama tidak berlaku kepada Itali yang lebih banyak menggunakan corak permainan bertahan.

Gerd Muller dari Jerman Barat menjadi mesin gol buat negaranya dengan menjaringkan hatrik dalam aksi kumpulan menentang Bulgaria dan Peru manakala Jairzinho secara konsisten menjaringkan gol buat Brazil dalam setiap perlawanan manakala bintang tengah Peru, Teofilo Cubillas menjadi perhatian ramai dengan gerakan-gerakan menarik selain 18 gol terhasil dalam empat perlawanan.

Cubillas yang meledak lima gol sepanjang kejohanan itu mampu tersenyum riang dengan aksi cemerlang pasukannya sepanjang kejohanan itu selepas negara mereka dilanda gempa bumi dengan kekuatan 8 skala Ritcher.

“Kami sangat bersedia untuk Piala Dunia. Dalam aksi pertama, dua hari selepas gempa bumi, kami bangkit daripada ketinggalan 2-3 kepada Bulgaria untuk menang dan saya menjaringkan gol kemenangan.

“Gol yang memberikan keceriaan kepada negara kami selepas ditimpa bencana besar,” kata Cubillas.

Edisi kesembilan Piala Dunia itu juga menyaksikan sistem dua pemain gantian mula digunakan (sebelum ini, pasukan tidak dibenarkan menggantikan mana-mana pemain cedera atau kepenatan) selain penggunaan kad kuning dan merah.

Kejohanan di final di Mexico itu mempertemukan dua corak permainan berbeza dengan Brazil yang diketuai Pele menggunakan corak permainan menyerang yang dikenali sebagai samba, yang berjaya menghiburkan penonton manakala The Azzurri kekal dengan mentaliti bertahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN