17 termasuk tiga wanita ditahan kes bunuh seorang remaja lelaki di Taman Melati - Utusan Malaysia

17 termasuk tiga wanita ditahan kes bunuh seorang remaja lelaki di Taman Melati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan 17 individu termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan pembunuhan seorang remaja lelaki akibat dibelasah sekumpulan remaja berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Melati di sini pada Ahad lalu.

Kesemua suspek berusia lingkungan 14 hingga 20 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan sekitar kawasan Wangsa Maju selepas pihak polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat seorang lelaki pada pukul 4.31 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut bermula di pekarangan kawasan letak kereta sebuah stesen minyak di Taman Melati sebelum berlarutan di tepi Jalan MRR2 menghala ke Gombak, Selangor.

Katanya, pergaduhan itu adalah susulan kejadian perselisihan faham di Taman Tasik Titiwangsa minggu lepas. Dalam kejadian itu, kumpulan mangsa telah dihampiri satu kumpulan lain yang membuat bising dengan memulas pendikit motosikal.

“Berikutan itu, dua kumpulan berkenaan berjumpa semula di sebuah stesen minyak di Taman Melati sebelum tercetusnya pergaduhan. 

“Dalam pergaduhan itu mereka menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal sebagai senjata dan akibat pergaduhan itu seorang lelaki ditemui maut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya lagi, seramai 17 individu ditahan manakala 16 lagi diburu bagi membantu siasatan kes bunuh itu.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 26 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Selain itu, dua daripada mereka yang ditahan didapati positif dadah,” ujar Mazlan. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN