ROM 26 Mei – Kira-kira 1,500 pelarian berjaya diselamatkan di Laut Mediterranean dalam operasi yang dijalankan selama dua hari sejak Khamis lalu.
Operasi itu membabitkan tentera laut Itali dan kapal yang disewa oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU) iaitu Frontex.
Semalam, seramai 1,050 pelarian yang cuba memasuki Eropah, berjaya diselamatkan dalam tujuh operasi berasingan dikendalikan oleh pengawal pantai Itali.
Selain itu, NGO dari Jerman iaitu Sea-Watch dan Sea-Eye berjaya menyelamatkan hampir separuh pelarian berkenaan dari tiga buah bot.
Sementara itu, beberapa pelarian dari Libya terjun ke laut bagi mengelak dari dibawa pulang ke negara asal selepas sebuah bot pengawal keselamatan Libya tiba di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, kapal tersebut menjarakkan kedudukannya bagi membolehkan semua pelarian diselamatkan oleh dua NGO terbabit.
Khamis lalu, kapal tentera laut Itali menyelamatkan 69 pelarian, manakala bot tentera laut Portugas yang mengambil bahagian dalam operasi antipemerdagangan Frontex, menyelamatkan 296 yang lain.
Pertubuhan Pendatang Antarabangsa (IOM) berkata, ketibaan kumpulan pelarian yang terbaharu itu meningkatkan jumlah mereka yang sudah berada di Itali kepada 10,800 pelarian sejak awal tahun ini. – AFP











